Hibah Tidak Sah Jika Pindah Milik ke Atas Harta Tidak Berlaku? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hibah Tidak Sah Jika Pindah Milik ke Atas Harta Tidak Berlaku?

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Saya telah bekerja dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka sejak 1998. Ini bermakna saya telah 28 tahun bergelumang membantu umat Islam menguruskan harta mereka. Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan saya kekuatan untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui industri ini.

 

Saya melihat sendiri bagaimana industri ini berkembang di Malaysia, baik dari sudut pertambahan pemain industri, perubahan kesedaran masyarakat, kesan sosio-ekonomi, mahupun perkembangan undang-undang.

 

Ketika Wasiyyah mula ditubuhkan pada 2005 (22 tahun yang lalu) dan memperkenalkan hibah sebagai instrumen perancangan harta yang lebih berkesan berbanding wasiat, kami bertungkus-lumus mengembara ke seluruh pelusuk Malaysia untuk memberi pendidikan tentang subjek ini kepada masyarakat.

 

Ketika bermusafir, saya pernah tidur dalam kereta kerana kehabisan wang dan tidak mampu menginap di hotel, mandi di masjid dan surau, serta makan sekadarnya sahaja. Walaupun dalam keadaan tertekan sebegitu, saya memberikan sehingga empat ceramah sehari, seawal selepas subuh sehingga selepas Isyak.

 

Penat? Hanya Allah sahaja yang tahu betapa penatnya memberikan ceramah sepanjang dua jam sebanyak empat kali sehari!

 

Sambutan masyarakat terhadap hibah ketika itu? Sangat menyedihkan kerana tidak ramai yang mempercayai bahawa hibah merupakan satu kaedah perancangan harta yang patuh hukum Syarak. Malah, lebih ramai yang memperlekehkan usaha kami.

 

Alhamdulillah, hari ini keadaan menjadi lebih baik. Kesedaran masyarakat semakin tinggi tentang kepentingan menggunakan kaedah hibah sebagai instrumen agihan harta yang berkesan. Masyarakat juga sudah mula memahami perbezaan fungsi antara hibah dan wasiat.

 

Pemain industri yang dulunya hanya fokus kepada wasiat kini sudah mula memperkenalkan hibah bagi memenuhi permintaan masyarakat. Wasiyyah berbangga kerana berjaya mendidik masyarakat dan mempelopori penggunaan hibah di Malaysia.

 

Hibah mesti disusuli dengan pindah milik?

Namun begitu, masih wujud banyak kekeliruan tentang hibah. Antara kekeliruan utama ialah pandangan bahawa hibah hanya sah apabila pindah milik nama atas harta telah dibuat. Jika pindah milik ini tidak berlaku, hibah dikatakan tidak sah.

 

Wasiyyah secara agresif telah membelanjakan lebih daripada RM2 juta dalam usaha penyelidikan ilmiah sejak 22 tahun yang lalu bagi memastikan perkhidmatan hibah menepati keperluan hukum Syarak.

 

Pasukan penyelidik kami mengkaji kitab-kitab Ahli Sunnah Wal Jamaah dari seluruh dunia Islam, kes-kes berkaitan daripada negara-negara Islam dan Malaysia sendiri bagi melihat isu pindah milik ini.

 

Ini kerana penyelidikan ilmiah yang kami lakukan ini melangkaui masa, dapatan penyelidikan kami selalu terkehadapan daripada pengetahuan industri. Maka walaupun melalui proses ilmiah yang sangat terperinci, apabila Wasiyyah memperkenalkan kaedah hibah tanpa perlu pindah milik, kami telah dikritik hebat.

 

Hibah tanpa keperluan pindah milik di Brunei

Kita semua tahu bahawa Brunei Darussalam secara rasmi memegang pandangan Mazhab Syafi’e.

 

Namun di negara itu sendiri, melalui Undang-Undang Hibah yang diperkenalkan pada 2018 dan disemak semula pada 2021, ditetapkan bahawa hibah sah walaupun tanpa berlakunya pindah milik:

  • Seksyen 5(c): Penerimaan hibah boleh dibuat secara nyata atau tersirat oleh atau bagi pihak penerima.

  • Seksyen 5(d): Penguasaan harta yang dihibah oleh pemberi kepada penerima boleh dilakukan secara fizikal atau simbolik bergantung kepada sifat harta.

  • Seksyen 9(c): Hibah sah sama ada melalui perisytiharan atau penerimaan tanpa keperluan penyerahan rasmi sekiranya:

    • (a) hibah diberikan kepada penerima wadi’ah yang harta itu berada di bawah jagaannya,

    • (b) hibah dibuat kepada penyewa harta,

    • (c) kedua-dua pemberi dan penerima menetap di harta yang sama.

 

Kes hibah tanpa pindah milik di Malaysia

Simati, Abdul Jabar bin Masidullah telah secara lisan menghibahkan rumahnya kepada anak perempuannya, Norehan binti Abdul Jabar. Selepas kematiannya, Norehan pada 2016 memohon pengesahan hibah daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh dan menamakan bapa saudaranya, Abdul Hamid bin Abdul Jabbar, sebagai responden.

 

Mahkamah mendapati semua rukun dan syarat hibah telah terlaksana dan mengesahkan hibah tersebut.

 

Tidak berpuas hati, Abdul Hamid mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Perak dan berhujah bahawa harta ini tidak milik sempurna kerana masih terikat dengan gadaian Bahagian Pinjaman Perumahan Kerajaan ketika akad hibah dibuat. Atas sebab itu, hibah dikatakan tidak sah dan harta mesti diagihkan mengikut Hukum Faraid.

 

Dalam penghakiman, Mahkamah Rayuan Syariah Perak memutuskan bahawa kerana pinjaman dibuat di atas prinsip Bai Bithaman Ajil dan telah diinsuranskan, hibah adalah sah.

 

Yang menarik, hakim-hakim yang bersidang, iaitu Dato’ Asa’ari Hj Mohd Yazid, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dan Tan Sri Dato’ Seri Zulkifli bin Ahmad Makinuddin, menyatakan bahawa urusan pindah milik nama dalam dokumen pemilikan adalah urusan pelaksanaan sahaja, sekaligus menunjukkan ia bukan keperluan hukum untuk menentukan keabsahan hibah.

 

Bolehkah pindah milik dibuat ketika hidup?

Persoalan ini sering ditanya dan jawapan saya konsisten sejak 22 tahun lalu, iaitu BOLEH! Namun pemberi hibah perlu menanggung risiko bahawa harta yang dipindah milik boleh dijual oleh penerima hibah pada bila-bila masa walaupun pemberi hibah masih hidup.

 

Jika tiada masalah rumah yang didiami dijual oleh anak (penerima hibah), maka pindah milik boleh dilakukan sekarang.

 

Namun, jika ingin terus menetap di rumah semasa hidup, gunakan kaedah hibah oleh Wasiyyah kerana urusan pindah milik harta dilakukan selepas kematian. Kaedah ini patuh hukum Syarak dan menjamin kepentingan pemberi hibah.

 

Keberkesanan dan rekod Wasiyyah selama 22 tahun melaksanakan kaedah hibah tanpa pindah milik terbukti apabila lebih daripada 400 perintah pengesahan hibah telah diperoleh daripada Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. - DagangNews.com