Harta Pusaka: Hukum sudah sempurna, mengapa masalah waris tidak pernah selesai? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harta Pusaka: Hukum sudah sempurna, mengapa masalah waris tidak pernah selesai?

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Acapkali sudah saya utarakan tentang kepentingan umat Islam merancang harta mereka mengikut kaedah Syariah. Di situ ada hibah, wasiat, wakaf, harta sepencarian dan pastinya semua kaedah alternatif ini didasari pelaksanaannya dengan kefahaman kita mengenai hukum faraid.

 

Sehingga hari ini, daripada badan sihat walafiat sampailah keadaan tubuh badan seperti sekarang, daripada kepala yang penuh rambut sehingga sudah mula menipis, daripada mata yang tajam sehingga kini rabun, selepas hampir 28 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini, masih ada segelintir masyarakat yang merasakan mereka tidak perlu melakukan apa-apa kerana hukum faraid itu sudah jelas.

 

Bagi mereka, kita tidak perlu membuat sebarang perancangan harta kerana orang Islam sudah mempunyai hukum faraid. Sudah jutaan kali juga saya tekankan bahawa hukum faraid itu telah sempurna dan dalam keadaan ideal, itulah yang terbaik untuk kita. Allah SWT telah menurunkan hukum faraid lengkap dengan hikmah-Nya yang tersendiri.

 

Sejak tahun 1998 lagi, saya telah bermusafir ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak atas perbelanjaan sendiri (kos perjalanan tidak ditanggung oleh mana-mana pihak, malah tiada bayaran juga diberikan kepada saya untuk menyampaikan ceramah!) untuk berkongsi dengan masyarakat tentang ilmu faraid.

 

Ketika itu, hanya saya dan beberapa orang rakan sahaja yang aktif bergerak dalam masyarakat untuk mendidik ilmu ini. Penerimaan masyarakat pula sekadar suam-suam kuku.

 

Alhamdulillah, hari ini kesedaran masyarakat semakin baik, ditambah pula dengan kehadiran ribuan penggerak industri yang bergerak aktif memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ilmu ini.

 

Namun, adakah masalah harta pusaka di Malaysia telah selesai atau dapat dicegah sepenuhnya selaras dengan kesedaran keilmuan yang semakin meningkat? Jawapan tuntas saya ialah TIDAK.

 

Masalah Global

Masalah harta pusaka seperti perbalahan antara ahli waris dan harta pusaka yang terbengkalai atau terbeku bukanlah masalah yang unik kepada Malaysia. Saya berpeluang berceramah dan membentangkan kertas kerja di Indonesia, Singapura, Australia, Türkiye, Dubai, Oman, Brunei dan United Kingdom.

 

Walaupun ada pihak di negara-negara ini yang cuba menafikan kewujudan masalah harta pusaka di negara mereka, apabila perbincangan teliti dibuat, sebenarnya mereka juga berdepan dengan cabaran yang sama. Bezanya, di Malaysia isu harta pusaka ini dibincangkan secara meluas, manakala di negara-negara tersebut mereka memilih untuk tidak membincangkannya secara terbuka.

 

Setakat ini, ke mana sahaja saya bermusafir di seluruh dunia, saya tidak pernah berjumpa dengan keadaan harta pusaka yang benar-benar ideal, iaitu waris-waris bermuafakat sepenuhnya dan reda-meredai tanpa sebarang isu, waris-waris gembira membayar semua kos perundangan yang terlibat, memahami sepenuhnya proses teknikal perundangan serta mampu memberi komitmen untuk menghadiri semua prosiding.

 

Di negara-negara Islam yang pilihan perancangan harta hampir tidak wujud (tiada organisasi seperti Wasiyyah), orang Islam wajib mengagihkan harta pusaka mengikut hukum faraid. Namun begitu, masalah harta pusaka seperti perbalahan keluarga dan harta pusaka yang terbeku lama tetap berlaku.

 

Maka, di manakah silapnya? Bukankah agihan tersebut telah dibuat sepenuhnya mengikut hukum faraid?

 

Dari sudut inilah kefahaman masyarakat perlu dipupuk. Hukum faraid memang telah sempurna sepenuhnya untuk memenuhi keperluan dan maslahah manusia, namun umat Islam mesti dididik untuk memahaminya dengan betul.

 

Dalam masa yang sama, Islam turut menyediakan alternatif kepada umatnya untuk merancang harta melalui hibah, wasiat, harta sepencarian (bagi kes di Malaysia) dan amanah. Proses pendidikan ini pula perlu dilakukan secara holistik dan berterusan.

 

Penggerak industri tidak boleh mengandaikan bahawa dengan sekali dua ceramah sahaja sudah mencukupi. Hari ini kita berceramah, yang mendengar ialah ibu bapa. Kelak, ibu bapa ini akan meninggal dunia dan yang berdepan dengan cabaran harta pusaka ialah anak-anak mereka. Maka, anak-anak ini pula perlu dididik. Pada masa hadapan, cucu, cicit dan piut juga perlu didedahkan dengan ilmu yang sama.

 

Oleh itu, kitaran pendidikan harta pusaka ini tidak pernah terhenti. Wasiyyah serta organisasi dan individu lain yang berkecimpung dalam industri ini perlu mempunyai stamina yang sangat kuat untuk terus melakukan kerja dakwah fiqh mawarith ini bertahun-tahun lamanya. Usaha ini juga mesti dilakukan dengan niat ikhlas untuk berdakwah tanpa mengharapkan ganjaran kewangan segera.

 

Sejak 28 tahun yang lalu, berdasarkan rekod yang disimpan, saya telah menyampaikan ceramah, membentangkan kertas kerja, mengendalikan bengkel dan menyertai forum dalam lebih daripada 6,000 acara di seluruh dunia.

 

Adakah tugas saya telah selesai? Pastinya BELUM. Masih ramai umat Islam yang belum faham dan selagi hayat dikandung badan, saya akan terus melakukan kerja ini.

 

Ilmu Tanpa Amal Itu Sia-sia

Imam Syafie pernah berpesan bahawa ilmu tanpa amal itu sia-sia, manakala amal tanpa ilmu pula merupakan kesesatan. Hakikatnya, mutakhir ini umat Islam semakin memahami ilmu berkaitan perancangan harta. Mereka mula memahami hukum faraid dan kaedah merancang harta seperti hibah dan wasiat.

 

Namun, cabaran sebenar ialah memastikan masyarakat yang sudah mula memahami ilmu ini bertindak segera merancang harta mereka. Ilmu sudah ada, tetapi persoalan yang lebih besar ialah sama ada ilmu tersebut diaplikasikan dalam kehidupan. Ke manakah mereka harus pergi?

 

Di sinilah Wasiyyah memainkan peranannya. Melalui strategi pendigitalan berasaskan teknologi terkini, kami memudahkan masyarakat untuk bertindak. Aplikasi mudah alih Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) yang memperkenalkan kaedah hibah tanpa kertas pertama di dunia memudahkan proses ijab dan kabul.

 

Lebih bermakna, ijab dan kabul hibah yang dibuat melalui sistem ini telah menerima pengesahan Mahkamah Syariah. Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, lebih 10,000 orang Islam telah menggunakan sistem ini. Wasiyyah tidak berhenti di situ, sebaliknya terus menambah baik aspek pendigitalannya dengan memperkenalkan Hibah Fintech baru-baru ini.

 

Segala usaha, kerja keras dan pelaburan besar ini dilakukan dengan tujuan utama untuk memudahkan masyarakat melaksanakan hibah. Kesedaran semata-mata tanpa kemudahan seperti ini tidak akan mengubah apa-apa. Sejak tahun 2004, Wasiyyah konsisten memberi fokus kepada usaha ini. - DagangNews.com