Artikel saya pada minggu ini ialah satu bentuk tribute kepada seorang insan yang paling instrumental membawa saya ke dalam industri perancangan harta secara Syariah. Insan yang saya sedekahkan segala pahala — jika ada — daripada usaha saya mendaulatkan fiqh mawarith di bumi bertuah ini kepadanya.
Saya merupakan graduan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1994. Saya memulakan kerjaya di Citibank dan seterusnya di RHB Unit Trust Management Berhad. Saya mula menceburi industri perancangan harta secara Syariah pada tahun 1998.
Pada suatu hari dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja, saya singgah di sebuah masjid di Ampang untuk menunaikan solat Maghrib. Ketika itu, seorang penceramah sedang menyampaikan kuliah bertajuk Hukum Faraid.
Saya sangat tertarik dengan ceramah tersebut kerana pada masa itu saya hanya mempunyai seorang anak perempuan. Saya amat terperanjat apabila mengetahui hakikat bahawa adik-beradik saya juga akan mendapat bahagian faraid daripada semua harta yang saya miliki apabila saya meninggal dunia (sekiranya ayah saya meninggal dunia terlebih dahulu).
Sebagai graduan pengurusan perniagaan, saya langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang hal ini. Malah, saya percaya ramai dalam kalangan masyarakat ketika itu juga tidak didedahkan dengan ilmu tersebut. Selesai kuliah Maghrib itu, saya mendekati penceramah berkenaan dan mendapatkan nombor telefonnya.

Detik awal perkenalan
Itulah detik awal perkenalan saya dengan Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang. Saya tidak mengenalinya sebelum itu, namun setelah membuat sedikit penelitian, barulah saya tahu bahawa Allahyarham merupakan antara ilmuwan fiqh mawarith yang tersohor di Malaysia.
Minat untuk mendalami bidang ini menyebabkan saya kerap menghubunginya, malah bertemu dengannya di Fakulti Pengajian Islam UKM semata-mata untuk bertalaqqi buku dan jurnal penulisannya. Saya juga menghadiri setiap seminar umum yang dihadirinya.
Allahyarham seorang yang sangat baik dan sentiasa bersedia meluangkan masa untuk saya di celah-celah tanggungjawab hakikinya sebagai pensyarah. Walaupun saya bukan pelajarnya secara rasmi, beliau tetap melayan segala pertanyaan saya.
Saya sendiri tidak pasti apa yang Allahyarham nampak dalam diri saya, namun saya amat bersyukur kerana Allah mempertemukan saya dengan insan sebaik beliau.
Allahyarhamlah guru pertama yang membuka minda dan hati saya terhadap ilmu fiqh mawarith.
Pada ketika itu, tidak banyak pihak yang terlibat dalam industri ini — malah boleh dikatakan industri ini hampir tidak wujud. Tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang ingin mengambil tahu tentang kesan dan hikmah hukum faraid, apatah lagi memahami konsep wasiat dan hibah. Isu ini dipandang enteng sehingga berlarutan menjadi masalah nasional.
Peguam pun kata susah
Apabila saya bertanya kepada rakan-rakan peguam tentang potensi industri ini, mereka menjawab, “Aku yang peguam pun tak mahu buat bisnes harta pusaka ini sebab tiada potensi. Apatah lagi engkau yang bukan peguam — lagi susah nak buat!”
Namun saya tidak patah semangat, malah terus berhubung rapat dengan Allahyarham. Beliau menasihati saya supaya mendalami industri ini terlebih dahulu untuk mendapatkan pengalaman dan feel sebelum melibatkan diri secara lebih serius.
Bagi menyelami industri ini dengan lebih baik, saya menyertai sebuah firma runding cara penyediaan wasiat sebagai Pengarah Pemasaran. Tanggungjawab saya ialah merangka strategi pemasaran dan pembangunan produk. Dalam masa yang sama, Allahyarham terus memberikan galakan kepada saya untuk menubuhkan firma sendiri.
Masih terngiang-ngiang kata-kata beliau:
“Enta tubuhkanlah sebuah syarikat yang dapat membantu orang Islam merancang harta secara Syariah sepenuhnya. Di Malaysia ketika ini tiada syarikat seperti itu. Yang sedia ada sekarang buat untuk orang Islam dan bukan Islam. Mereka tidak fokus. Enta ada ilmu pengurusan, ana ada ilmu fiqh mawarith. Ana akan sokong sepenuhnya usaha enta.”
Selama beberapa tahun saya bekerja keras menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman bersama firma tersebut. Dalam masa yang sama, saya terus mendapat bimbingan daripada Allahyarham.
Selepas beristikharah untuk sekian waktu, saya akhirnya membuat keputusan untuk menubuhkan Wasiyyah Shoppe Berhad pada 5 Mei 2004.
Dengan bermodalkan sebuah komputer riba dan sedikit simpanan, saya memulakan langkah dengan menjual visi dan misi Wasiyyah Shoppe Berhad kepada barisan Panel Syariah yang boleh membantu kami membangunkan perkhidmatan patuh Syariah seperti yang diaspirasikan oleh Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang. Malah, beliau juga berperanan penting dalam memperkenalkan saya kepada barisan Panel Syariah ini.

Panel Syariah
Kecuali Dato’ Nooh Gadut (Pengerusi) yang merupakan dua pupu kepada Allahyarham datuk saya (orang Segamat), ahli Panel Syariah lain seperti Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Hailani Muji Tahir, Allahyarham Dato’ Dr. Ali Baharom dan Prof. Dr. Abdul Halim El-Muhammady merupakan rakan karib Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang.
Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad memainkan peranan penting dalam memastikan kepatuhan Syariah bagi semua perkhidmatan kami sehinggalah kontrak mereka tamat pada tahun 2007.
Bagi memperkukuh fokus Wasiyyah Shoppe Berhad terhadap ilmu fiqh mawarith, Allahyarham mencadangkan saya membawa masuk ilmuwan muda yang lebih dinamik, iaitu Dr. Mohd Zamro Muda dan Datin Dr. Noor Lizza Mohamed Said pada tahun 2008. Kedua-duanya kini merupakan pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Islam UKM.
Allahyarham juga mencadangkan nama Prof. Madya Dr. Nasrul Hisyam Nor Mohammad dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang secara rasmi menjadi Panel Syariah kami pada tahun 2012. Lebih signifikan lagi, pada tahun 2017, beliau mencadangkan supaya Dato’ Dr. Md Yusup Che Teh, mantan hakim Mahkamah Rayuan JKSM Putrajaya, turut dibawa masuk.
Saya berasa amat bersyukur kerana pada waktu itu Panel Syariah kami mempunyai keseimbangan yang kukuh — dengan gabungan kepakaran ilmu fiqh mawarith, pemahaman undang-undang Syariah, serta pengalaman praktikal dalam urusan pusaka melalui kehadiran Tuan Haji Sulaiman Kadimi (bekas Pengarah Pusaka Kecil Pahang) dan Tuan Seh Nilamuddin Hassan (bekas Pengarah Pusaka Kecil Persekutuan). Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang pula berperanan sebagai Pengerusi Panel Syariah.
Wasiyyah Shoppe Berhad ketika itu berjaya membangunkan pelbagai perkhidmatan perancangan harta secara Syariah yang paling komprehensif di Malaysia, seterusnya menjadikan kami peneraju pasaran. Panel Syariah yang diasaskan atas cadangan dan pengaruh Allahyarham berjaya meletakkan asas kukuh kepada hala tuju syarikat.
Hasrat Bersara
Pada tahun 2018, Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang menyatakan hasrat untuk bersara daripada Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad. Kesihatannya yang semakin merosot menyebabkan beliau merasakan dirinya mungkin menjadi kekangan kepada kelangsungan syarikat untuk bergerak lebih pantas.
Walaupun berat hati, saya menerima permintaannya itu walaupun masih amat memerlukan bimbingannya — terutamanya ketika Wasiyyah Shoppe Berhad sedang berkembang pesat dan menghadapi pelbagai cabaran baharu.
Namun, saya tahu Allahyarham telah melakukan yang terbaik untuk memastikan Wasiyyah Shoppe Berhad berdiri di atas landasan kukuh.

Rupa-rupanya, permintaan untuk bersara itu merupakan antara tanda-tanda bahawa beliau akan meninggalkan kami buat selama-lamanya. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2019, dan berita itu benar-benar meruntun perasaan seluruh warga Wasiyyah Shoppe Berhad.
Hari ini, Wasiyyah Shoppe Berhad (kini dikenali sebagai Wasiyyah) sangat terhutang budi kepada Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang atas segala jasa dan sumbangannya.
Semoga Allah SWT menempatkan beliau dalam kalangan orang yang dikasihi-Nya dan menerima segala usahanya mendaulatkan fiqh mawarith sebagai amal jariah yang berterusan.
Sebagai anak didiknya, saya sentiasa berdoa agar kami dipertemukan semula di syurga. Aamiin. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









