Apabila gempar satu Malaysia tentang isu hibah takaful dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil baru-baru ini, saya telah membuat satu kesimpulan. Di tengah-tengah pelbagai pendapat berkaitan kes itu, kesimpulan saya ialah ‘APA PUN BOLEH DICABAR DI MAHKAMAH MALAYSIA’.
Ada yang tidak boleh menerima kesimpulan saya itu. Saya tidak memaksa anda menerima pandangan saya kerana semua orang mempunyai pendirian masing-masing.
Pada 19 Jun 2025 Mahkamah Persekutuan memutuskan pula berkenaan isu fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Bidang kuasa mengeluarkan fatwa memang sangat jelas jatuh di bawah kuasa Negeri.
Walaupun fatwa itu sah, proses pembuatannya juga sah namun bidang kuasa negeri namun telah diputuskan bahawa ia hanya berkuatkuasa terhadap individu sahaja.
Fatwa itu yang mengaitkan satu pertubuhan sebagai sesat walaubagaimanapun diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai tidak sah kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri tidak boleh membuat keputusan berkaitan pertubuhan atau syarikat. Sekali lagi pelbagai pihak memberikan pelbagai pandangan sama seperti isu hibah takaful yang terbatal itu.

Di dalam artikel minggu ini saya bagaimanapun tidak berniat untuk mengulas kes fatwa ini kerana ia di luar daripada kepakaran saya. Semenjak remaja saya telah dilatih supaya tidak mengulas perkara-perkara yang di luar daripada pengetahuan saya. Jadi, bagi kes fatwa ini saya memilih untuk memberikan sebarang komen tentangnya. Biarlah pihak yang berkepakaran menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Apa pun boleh dicabar di Mahkamah
Saya tetap berpegang teguh kepada pendirian awal saya tentang isu hibah takaful yang viral bahawa apa pun boleh dicabar di Mahkamah oleh mana-mana pihak sekalipun lebih-lebih lagi daripada waris yang berhak ke atas harta itu.
Wasiyyah daripada hari pertama beroperasi 5 Mei 2004, sangat jelas dengan kedudukan ini. Kami faham bahawa apabila masyarakat membuat dokumen perancangan harta dengan kami, pastinya mereka mengharapkan supaya dokumen itu dapat dikuatkuasakan selaras undang-undang yang tergunapakai. Ini amanah yang kami pegang daripada masyarakat.
Kerana itu kami tidak mengambil mudah amanah ini. Kami telah dan secara berterusan tanpa henti semenjak 21 tahun yang lepas, menghabiskan masa, wang (RM 2 juta) dan tenaga yang sangat banyak untuk melabur di dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Kami memberikan geran kepada universiti untuk menyelidik topik yang ingin kami bangunkan sebagai satu bentuk perkhidmatan. Penyelidikan itu kebiasannya akan membawa kami untuk meneroka pelbagai pandangan ahli sunnah wal jamaah (bukan sekadar pandangan mazhab shafie’ sahaja) yang kadang-kadang pandangan ini juga agak kontroversi serta peruntukan dan amalan undang-undang di Malaysia dan juga negara-negara Islam yang berkenaan.
Hasil penyelidikan ilmiah ini kemudiannya dibentangkan di dalam muzakarah dan bengkel ilmiah yang dihadiri oleh pakar-pakar undang-undang. Kami melihat kepada keselarasan dapatan penyelidikan ini dengan undang-undang semasa dan undang-undang yang sedang dan mungkin digubal pada masa hadapan.
Selepas dikemaskini, perkhidmatan ini kemudiannya dibawa untuk pembentangan di hadapan Jawatankuasa Teknikal Syariah Wasiyyah dan akhirnya dibawa ke hadapan Panel Syariah kami untuk kelulusan. Proses ini (tidak termasuk penyelidikan ilmiah yang kadang-kadang memakan masa sehingga setahun) kadang-kadang mengambil masa di antara 6 hingga 8 bulan. Kesemua hujah-hujah Syarak dan undang-undang yang dikumpulkan sepanjang proses ini disimpan di dalam arkib Wasiyyah.

Inovasi yang patuh syariah
Proses pembangunan perkhidmatan Wasiyyah memang memakan masa panjang, belanja yang mahal dan tenaga yang banyak. Namun Wasiyyah faham bahawa ini sesuatu yang MESTI DILAKUKAN.
Kita tidak boleh mengambil mudah proses pembangunan perkhidmatan ini kerana SEKIRANYA DICABAR di mahkamah kami perlu bersedia dengan semua hujah dan fakta. Namun pendirian kami jelas bahawa apa sahaja yang dilakukan ini mestilah PATUH SYARIAH sepenuhnya.
Cabaran memang besar kerana apa yang kami teroka melalui penyelidikan ilmiah ini kadang-kadang sukar diterima oleh pemikiran perdana massa. Dalam banyak keadaan ia mendahului masa dan kami perlu bertungkus-lumus mempertahankannya.
Contohnya apabila Wasiyyah memperkenalkan hibah untuk harta bercagar pada 2017, kami telah dihentam dengan sangat teruk kerana dikatakan sanggup menjustifikasikan hibah untuk harta bercagar semata-mata kerana mengejar keuntungan.
Malah Panel Syariah kami pada ketika itu juga dicerca sebagai ‘Panel Syariah 25%’ kerana ditohmahkan mereka ini sanggup menggadai prinsip dan hukum Syarak semata-mata kerana dibayar oleh Wasiyyah!
Namun hari ini, selepas 8 tahun memperkenalkan konsep hibah untuk harta bercagar, saya merasa sangat gembira kerana kebanyakan masyarakat sudahpun dapat menerimanya.
Pengesahan kes hibah harta bercagar semakin banyak di Mahkamah Syariah malah institusi kewangan yang dahulunya kuat menghentam Wasiyyah, hari ini juga sudah mulai terbuka menerima konsep ini. Mereka ada yang sudah pun di dalam proses untuk memperkenalkan perkhidmatan ini kepada pelanggan mereka pula.
Lebih menarik lagi, Fatwa Negeri Selangor juga telah dikeluarkan pada 2021 dan Fatwa Negeri Terengganu juga mengesahkan hibah untuk harta bercagar ini.

Menoleh ke belakang, saya merasa sangat bersyukur kerana Allah SWT melorongkan Wasiyyah untuk meneroka solusi inovatif patuh Syariah ini dan di dalam masa yang sama memberikan kami kekuatan untuk mengharungi semua cabaran pada peringkat permulaan dahulu.
Biar terlebih bersedia daripada terkurang sedia
Selepas 21 tahun operasi dengan penekanan kepada perkhidmatan hibah, hari ini Wasiyyah ialah penyedia dan pelaksana dokumen hibah yang terbesar di Malaysia.
Daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan, kami telah berjaya melancarkan perkhidmatan hibah akaun bersama, hibah saham syarikat sdn bhd, hibah akaun CDS (Bursa Malaysia), hibah saham koperasi, hibah barang kemas, hibah barang berharga, hibah untuk akaun pelaburan saham amanah, hibah untuk pelaburan private mandate dan banyak lagi.

Pengalaman juga menjadi guru terbaik kami apabila kami telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran di Mahkamah yang memberikan kami pendedahan yang cukup berharga.
Dengan panduan hujah Syarak yang lengkap, pengalaman dan pengetahuan Panel Syariah yang cukup mantap serta pelaksanaan cekap oleh pasukan perundangan, insya-Allah, Wasiyyah bersedia untuk membantu waris-waris melalui semua cabaran di dalam proses perundangan hibah.
Saya selalu berpesan kepada masyarakat, di dalam urusan merancang harta ini biarlah kita TERLEBIH BERSEDIA berbanding dengan terkurang bersedia. Dokumen perancangan harta tidak boleh dibuat secara semberono berdasarkan pengetahuan atau kecenderungan peribadi sahaja. Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menghalang sesiapapun daripada mencabar dokumen perancangan harta kita.
Di atas sebab itulah, dokumen perancangan harta perlu disediakan mengikut disiplin ilmu yang ketat, keputusan kolektif berdasarkan hujah Syarak yang jelas serta dilaksanakan pula oleh pasukan perundangan berpengalaman dan berpengetahuan seperti Wasiyyah.
Jika dokumen itu terkurang bersedia dan ia dicabar pula di mahkamah, hasrat kita sebagai pemilik harta mungkin tidak akan tercapai. Kita pastinya tidak boleh bangkit dari kubur untuk memperbetulkan keadaan itu. Pada ketika itu segala-galanya sudah terlambat! - DagangNews.com









