Baru-baru ini kecoh diperkatakan mengenai pandangan bahawa cukai simati yang tertunggak dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetap wajib dibayar.
Ramai pihak tampil bertanya mengenai kedudukan sebenar isu ini kerana tidak sedikit waris yang panik, menyangka cukai simati yang tertunggak tidak perlu dijelaskan.
Sepanjang pengalaman saya selama 28 tahun, saya mendapati ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai salah tanggapan tentang hutang simati.
Ada waris yang beranggapan bahawa hutang simati yang wajib dilangsaikan hanyalah hutang dengan institusi kewangan seperti pinjaman perumahan, pinjaman peribadi atau hutang kad kredit dengan bank.
Ramai juga waris yang menyangka tanggungjawab mereka melunaskan hutang simati telah selesai sebaik sahaja membuat pengumuman di majlis pengkebumian agar mana-mana pihak yang memberi hutang kepada simati tampil menuntut daripada waris.
Apakah Hutang Simati yang Wajib Dibayar?
Secara umumnya ingin saya tegaskan bahawa semua hutang simati WAJIB dibayar dalam apa jua keadaan. Hutang ini merangkumi hutang kepada Allah SWT dan hutang kepada manusia.
Hutang kepada Allah SWT merangkumi segala zakat yang tidak dibayar oleh simati sepanjang hayatnya seperti zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat emas dan perak, zakat perniagaan, zakat pertanian, zakat ternakan dan lain-lain.
Turut tersenarai sebagai hutang simati ialah bayaran fidyah bagi menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa hidupnya. Kiraan fidyah tertakluk kepada kaedah yang ditetapkan oleh negeri-negeri. Begitu juga dengan badal haji yang dilakukan oleh waris bagi pihak simati yang belum sempat menunaikan ibadah tersebut.
Tidak terkecuali ialah nazar simati yang belum dilunaskan. Contohnya, simati telah bernazar untuk bersedekah sebanyak RM10,000 sekiranya Allah SWT memakbulkan doanya. Setelah hajatnya tercapai, simati terlupa melunaskan nazar tersebut. Nazar ini tetap dianggap hutang dan wajib diselesaikan oleh waris.
Seterusnya ialah hutang kepada manusia. Semasa hidupnya, simati mungkin telah meminjam wang atau berhutang dengan individu lain bagi apa jua tujuan, walaupun tanpa perjanjian bertulis.
Selagi wujud akad hutang, maka hutang tersebut wajib dibayar. Contoh akad hutang paling asas ialah, “Aku pinjam dahulu wang RM5,000 ini dan akan membayarnya semula.”
Kategori hutang yang ketiga ialah hutang rasmi yang berdokumen seperti pinjaman perumahan, hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan hutang-hutang lain dengan institusi kewangan.
Siapakah yang Bertanggungjawab Menjelaskan Hutang Simati?
Menurut hukum syarak, hutang simati wajib dijelaskan daripada harta pusaka simati itu sendiri, bukan daripada harta peribadi waris.
Waris tidak mewarisi hutang, sebaliknya mewarisi tanggungjawab untuk mengurus dan melangsaikan hutang tersebut sebelum harta pusaka boleh diagihkan.
Prinsip ini berasaskan kaedah fiqh yang masyhur:
“Hutang hendaklah diselesaikan sebelum pembahagian pusaka.”
Dari sudut undang-undang pentadbiran harta pusaka di Malaysia, wasi atau pentadbir harta pusaka yang dilantik melalui Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet ialah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan kewajipan menjelaskan hutang simati daripada harta pusaka tersebut.
Kedudukan Hutang Cukai LHDN yang Tidak Dibayar
Hutang cukai dengan LHDN merupakan hutang yang wajib dijelaskan, sama kedudukannya dengan hutang-hutang lain yang telah dihuraikan. Ia adalah liabiliti yang wujud semasa hayat simati dan tidak gugur dengan kematiannya.
Hutang ini kekal sebagai tanggungan yang mesti dijelaskan daripada harta pusaka simati.
Di bawah undang-undang percukaian Malaysia, LHDN mempunyai kuasa untuk menuntut cukai tertunggak simati, mengeluarkan notis tuntutan kepada wasi atau pentadbir pusaka serta menghalang pengagihan harta pusaka sehingga cukai tersebut dilunaskan.
Ini bermakna, walaupun waris telah memperoleh perintah pembahagian pusaka, LHDN masih berhak menuntut bayaran cukai simati sekiranya ia belum dijelaskan.
Mengapa Isu Ini Sering Menimbulkan Panik?
Panik berlaku atas dua sebab utama:
1. Waris menyangka hutang cukai adalah urusan peribadi simati dan akan lupus dengan kematian. Mereka beranggapan hutang tersebut tidak perlu dijelaskan kerana penghutang telah meninggal dunia. Hakikatnya, LHDN mempunyai kuasa undang-undang untuk menuntut bayaran tersebut. Sekiranya hutang cukai tidak dibayar, wasi atau pentadbir harta pusaka boleh menanggung liabiliti perundangan.
2. Terdapat waris yang telah terlanjur membahagikan harta pusaka. Apabila LHDN tampil menuntut bayaran cukai, waris menjadi panik kerana harta tersebut mungkin telah dibelanjakan. Dalam keadaan ini, wasi atau pentadbir harta pusaka mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengutip semula harta pusaka daripada waris-waris pada kadar cukai yang tertunggak, sesuatu yang sememangnya sukar untuk dilaksanakan.
Sekali lagi saya tegaskan bahawa sekiranya wasi atau pentadbir harta pusaka gagal atau enggan melaksanakan tanggungjawab melunaskan hutang cukai tertunggak ini, mereka boleh dipertanggungjawabkan dari sudut undang-undang.
Apakah Peranan Wasiyyah?
Sejak 22 tahun lalu, Wasiyyah telah menjalankan tanggungjawab membimbing wasi, pentadbir harta pusaka dan waris melalui proses pengurusan harta pusaka secara teratur dan berdisiplin.

Kami memahami bahawa tidak semua waris memahami implikasi hukum syarak dan undang-undang berkaitan cukai. Bagi pelanggan Al-Wasitah, waris akan diberikan penerangan yang jelas dan terperinci mengenai semua isu berkaitan pengurusan harta pusaka.
Wasiyyah akan membantu waris mengisi borang-borang berkaitan, mengumpulkan dokumen yang diperlukan serta memfailkan permohonan pusaka sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil melalui peguam panel kami.
Pegawai perundangan kami akan hadir bersama waris semasa prosiding untuk membimbing mereka melalui keseluruhan proses.
Setelah semua perintah diperoleh, kami turut membimbing wasi dan pentadbir harta pusaka menuntut, mengumpulkan harta pusaka dan melunaskan semua hutang termasuk cukai LHDN yang tertunggak. Kesemua urusan ini diberikan secara percuma kepada waris pelanggan Al-Wasitah.
Anda Masih Menganggap Urusan Harta Pusaka Mudah?
Selepas penjelasan ini, adakah anda masih beranggapan urusan harta pusaka adalah mudah? Hakikatnya, urusan ini amat rumit dan memerlukan kefahaman mendalam kerana ia melibatkan hukum syarak yang menentukan halal dan haram, serta undang-undang sivil yang membawa implikasi perundangan kepada wasi, pentadbir dan waris.
Berdasarkan pengalaman 28 tahun saya dalam industri ini, urusan harta pusaka tidak pernah menjadi semakin mudah dari tahun ke tahun. Malah, saya tidak menjangkakan ia akan menjadi lebih ringkas pada masa hadapan berikutan kerumitan isu sosioekonomi yang semakin meningkat.
Penyelesaian paling tuntas hanyalah satu, iaitu mendapatkan perkhidmatan pengurusan pusaka Al-Wasitah Wasiyyah supaya anda dan waris tidak tersilap langkah. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









