Saya faham ada ramai ibu bapa di luar sana yang sangat mengambil berat tentang nasib dan kebajikan anak-anak, terutamanya yang di bawah umur 18 tahun. Ibu bapa ini sentiasa bimbang sekiranya mereka meninggal dunia dan meninggalkan anak di bawah umur 18 tahun, kehidupan anak-anak ini akan terjejas.
Oleh kerana itu, ibu bapa sentiasa mahukan supaya harta-harta yang mereka tinggalkan seperti rumah, akaun bank dan simpanan berbentuk tunai yang lain dapat dimiliki oleh anak-anak di bawah umur 18 tahun dengan tujuan ia digunakan untuk meneruskan kehidupan mereka.
Anak-anak di bawah umur 18 tahun ini sememangnya mempunyai hak mereka masing-masing mengikut hukum faraid iaitu anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan satu bahagian.
Namun sebagai ibu bapa yang sentiasa memikirkan tentang kemaslahatan anak-anak kategori ini, mereka akan terfikir mahu memperuntukkan lebih banyak bahagian supaya anak-anak ini dapat meneruskan kehidupan, terutamanya dalam konteks pendidikan dan kebajikan.

Apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa?
Bagi tujuan peruntukan harta kepada anak-anak kandung, ibu bapa perlu membuat hibah dan bukannya wasiat.
Kenapa? Kerana hukum dan perundangan wasiat bagi orang Islam di Malaysia sudah sangat jelas, iaitu formula pembahagian dalam wasiat hanya akan berkuat kuasa bagi pembahagian kepada bukan waris pada tahap maksimum satu pertiga (1/3) bahagian.
Sekiranya disebut dalam wasiat bahawa sesuatu harta diperuntukkan kepada anak-anak bawah umur 18 tahun, ia tidak akan berkuat kuasa kecuali jika semua waris mengikut hukum faraid bersetuju selepas kematian pewasiat.
Jika ada di antara waris tersebut tidak bersetuju, maka formula pembahagian seperti yang dihasratkan oleh pewasiat tidak akan tercapai.
Ini berbeza dengan hibah. Formula pembahagian harta boleh dibuat mengikut hasrat si pemberi hibah dengan syarat semua rukun iaitu pemberi, penerima, harta dan ijab serta qabul, serta syarat sah hibah iaitu qabd (penguasaan harta) mengikut hukum syarak telah jelas terlaksana ketika hidupnya pemberi hibah. Jadi, apa sahaja harta boleh dihibahkan oleh pemberi hibah kepada anak di bawah umur 18 tahun.
Pengalaman 21 tahun Wasiyyah mengendalikan hibah kepada anak bawah umur 18 tahun menunjukkan bahawa tiada sebarang masalah di peringkat pelaksanaan hibah jika semua keadaan di atas telah dipenuhi. Wasiyyah sangat terperinci dan berhati-hati dalam perkara ini kerana kami faham isu sah atau tidak sesuatu hibah itu sangat kritikal.
Kami paling banyak mengendalikan kes hibah kepada anak bawah umur 18 tahun untuk hartanah (bercagar atau tidak bercagar) dan juga harta alih seperti wang tunai dan saham syarikat. Alhamdulillah, kesemuanya berjalan dengan lancar.

Bagaimana ijab dan qabul hibah dibuat untuk anak bawah umur 18 tahun?
Ijab dan qabul ialah salah satu rukun hibah. Jika ia tidak sempurna, maka hibah itu menjadi tidak sah. Apabila hibah itu tidak sah, hasrat pemberi hibah untuk memberikan harta kepada penerima hibah bawah umur 18 tahun tidak akan tercapai.
Isunya ialah bagaimana anak di bawah umur 18 tahun boleh membuat qabul sedangkan dari sudut hukum syarak dan undang-undang sivil, anak di bawah umur 18 tahun (minor) tiada kapasiti undang-undang untuk memasuki apa-apa kontrak termasuklah kontrak hibah.
Untuk qabul bagi anak ini, ia sebenarnya boleh dibuat oleh penjaga harta yang sah kepada anak itu.
Siapakah yang layak sebagai penjaga harta sah anak bawah umur 18 tahun?
Menurut Akta Pentadbiran Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (peruntukan ini juga ada dalam enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri lain, cuma berbeza seksyen), penjaga harta kepada anak di bawah umur 18 tahun ialah bapa kandung sebagai penjaga hakiki (mutlak).
Mengikut Seksyen 88, urutan penjaga harta yang sah untuk anak bawah umur 18 tahun ialah:
Bapa kandung
Datuk lelaki sebelah bapa
Wasi yang dilantik oleh wasiat bapa
Wasi kepada wasi bapa
Wasi datuk lelaki sebelah bapa
Wasi kepada wasi datuk sebelah bapa
Dalam undang-undang, hanya orang-orang ini sahaja yang boleh menjadi penjaga harta, dan merekalah yang boleh menyambut qabul hibah bagi pihak anak di bawah umur 18 tahun.
Situasi 1: Hibah oleh bapa kandung (pemberi hibah) atau mana-mana pihak dalam senarai Seksyen 88 kepada anak bawah umur 18 tahun (penerima hibah)
Dalam kes ini, ijab boleh dibuat oleh bapa kandung (atau mana-mana pihak dalam senarai Seksyen 88). Oleh sebab dia penjaga hakiki, dia juga boleh menyambut qabul bagi hibah ini tanpa melibatkan pihak lain.
Jika bapa kandung itu mahu melantik pihak lain (contohnya ibu kandung) untuk menyambut qabul, dia boleh berbuat demikian tetapi perlu ada bukti eksplisit bahawa pelantikan itu dibuat terlebih dahulu sebelum akad hibah dilaksanakan.
Situasi 2: Hibah oleh ibu kandung (pemberi hibah) atau mana-mana pihak yang tiada dalam senarai Seksyen 88 kepada anak bawah umur 18 tahun (penerima hibah)
Dalam kes ini, ijab dibuat oleh ibu kandung atau pihak lain, manakala qabul mesti dibuat oleh pihak dalam senarai Seksyen 88. Jika qabul dibuat oleh orang yang tiada kuasa undang-undang, hibah boleh terbatal di Mahkamah Syariah.
Bagi kes seperti perceraian (bekas suami tidak dapat dikesan / tidak memberi nafkah), suami bermasalah (jenayah / penagihan dadah), atau kes ibu bapa angkat, maka pihak yang ingin membuat hibah perlu terlebih dahulu memohon di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak sebagai penjaga harta.
Selepas mahkamah berpuas hati dan mengeluarkan perintah penjaga harta sah, barulah ijab dan qabul hibah boleh dibuat secara sah. Jika ijab dan qabul dibuat sebelum prosedur ini, hibah mungkin terbatal.

Hibah bagi anak bawah umur 18 tahun boleh dibuat, tetapi perlu berhati-hati
Mahkamah Syariah sangat teliti dalam urusan ijab dan qabul untuk anak bawah umur 18 tahun kerana ia merupakan rukun hibah.
Melalui pengalaman tujuh orang Ahli Panel Syariah Wasiyyah yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM Putrajaya, Dato’ Seri Dr. Md Yusup Che Teh, kami telah mewujudkan dan mengamalkan SOP ketat bagi kes seperti ini.
Kami faham bahawa jika hibah kepada anak bawah umur 18 tahun terbatal kerana isu penjaga harta, kesannya sangat besar — bukan sahaja pada reputasi syarikat amanah patuh syariah, malah lebih penting lagi, hasrat pemberi hibah tidak akan tercapai. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









