KUALA LUMPUR 11 Dis - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bekerjasama dengan pengamal perubatan berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan untuk memulakan satu ujian rintis awam dengan membuka sebuah klinik komuniti PLUS di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang strategik di lebuh raya kendaliannya.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, klinik komuniti itu dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun 2023.
Beliau berkata, sekiranya berjaya, lebih banyak klinik komuniti PLUS akan dibuka di kawasan-kawasan strategik sepanjang lebuh raya pada masa akan datang.
Jelasnya, komitmen PLUS turut menjangkaui aspek keselamatan jalan raya dan syarikat juga melihat pendekatan lain dalam membantu menjaga kesihatan pelanggan lebuh raya.
"Walaupun insiden kemalangan kecil dan masalah kesihatan pelanggan adalah di luar kawalan mereka, kejadian-kejadian kecemasan tersebut memerlukan rawatan segera.
"Lazimnya pelanggan lebuh raya perlu mendapatkan bantuan rawatan kesihatan di luar kawasan lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, PLUS meraikan Hari Keselamatan edisi ke-5 di Persada PLUS baru-baru ini sambil melaungkan komitmen yang berterusan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan sepanjang lebuh raya kendaliannya.

Ia dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan.
Sementara itu, PLUS berjaya mengurangkan kes Lost-Time-Injury (LTI) sebanyak 97% dalam kalangan warga PLUS daripada 35 kes pada 2017 kepada 1 kes tahun ini.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, beliau gembira dan bersyukur apabila inisiatif keselamatan dan kesihatan yang diusahakan pihaknya sejak 5 tahun lalu membuahkan hasil.
Jelasnya, DNA mereka adalah untuk memperkukuhkan ekosistem lebuh raya dan menjadikannya lebih selamat dan selesa untuk pelanggan, terutamanya untuk warga kerja PLUS.
"Warga PLUS kini lebih terjamin dan terpelihara ketika menjalankan tugas harian mereka," katanya. - DagangNews.com








