KLCI, ringgit gagal raih momentum positif FTE Russell | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI, ringgit gagal raih momentum positif FTE Russell

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 30 Mac - Bursa tempatan dan ringgit susut dalam dagangan petang ini di sebalik pengumuman FTSE Russell bahawa Malaysia kekal dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI). 

 

Malaysia dikeluarkan daripada senarai pemantauan bagi potensi pengelasan semula tahap ketercapaian pasaran daripada '2' kepada '1' setelah berada dalam senarai itu pada Mac 2019. 

 

Ia menyaksikan indeks utama FBM KLCI ditutup 0.1% lebih rendah kepada 1,609.2 mata dengan jumlah dagangan sebanyak 5.78 bilion saham diniagakan bernilai RM3.59 bilion.  

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 649 berbanding 414 manakala 441 kaunter tidak berubah.

 

Pasaran kewangan juga gagal meraih sedikit momentum positif daripada pengumuman FTE Russell itu apabila ditutup pada RM4.1485/1515 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.1390/1440.

 

Menurut Reuters, mata wang pasaran baharu muncul berlegar-legar menghampiri paras terendah 3 minggu apabila meningkatnya kebimbangan terhadap inflasi yang secara tidak langsung melonjakkan hasil bon dan dolar AS.

 

Mengulas mengenai pasaran tempatan, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, sebahagian besar sentimen positif dalam pasaran diheret turun oleh laporan mengenai sekatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS terhadap semua sarung tangan pakai buang dari kilang Top Glove di Malaysia.

 

Katanya, saham Top Glove jatuh lebih 5% petang ini, tertinggi dalam kalangan 30 komponen FBM KLCI. 

 

"Jadi, adalah tidak mengejutkan jika indeks penjagaan kesihatan Bursa Malaysia juga merekodkan kerugian terbesar selepas susut 1.1% petang ini," katanya.

 

Saham Top Glove petang ini susut 5.35% kepada RM4.78 sesaham dengan pasaran modal bernilai RM41.22 bilion. 

 

CBP pada Isnin mengarahkan kakitangannya di semua pintu masuk pelabuhan AS untuk memulakan rampasan sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan Top Glove. 

 

Ini berikutan pembuat sarung tangan getah terbesar dunia itu dipercayai menggunakan buruh paksa untuk menghasilkan sarung tangan pakai buang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Top Glove berkata pada masa ini, syarikat itu tidak dapat memastikan jumlah impak kewangan dan operasi akibat rampasan barangan itu.

 

Sementara itu, mengenai FTE Russell, UOB Malaysia dalam nota kajian berkata, Malaysia diletakkan di bawah Senarai Pemantauan FTSE yang mungkin membawa kepada pengecualian sejak Mac 2019. 

 

Sejak itu, katanya, aliran masuk terkumpul bon kerajaan Malaysia berjumlah RM41.6 bilion (April-Disember 2019 : RM15.6 bilion, 2020 : RM17.2 bilion, Januari-Februari 2021 : RM8.8 bilion). 

 

"Pegangan asing bagi bon kerajaan Malaysia juga meningkat kepada 24.7% pada Februari 2021 (berbanding 21.9% pada April 2019). 

 

"Ini menunjukkan bon kerajaan Malaysia kekal menarik dan disokong asas makroekonomi yang stabil," katanya.

 

Dalam kenyataan hari ini, Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM), Chu Kok Wei berkata, pihaknya  akan terus bekerjasama dengan pelbagai institusi kewangan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan. - DagangNews.com