Kimlun bakal terbit sukuk Murabahah RM800 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kimlun bakal terbit sukuk Murabahah RM800 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Syarikat perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan, Kimlun Corporation Berhad bakal menerbitkan program Kertas Komersial Islam (ICP) dan Nota Kewangan Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang mencecah jumlah keseluruhan sehingga RM800 juta. 

 

Penerbitan sukuk itu telah diterima oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang diserahkan oleh OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) sebagai mewakili Kimlun. 

 

OCBC Al-Amin telah dilantik sebagai Penasihat Utama, Pengatur Utama dan Pengurus Utama dan Penasihat Syariah kumpulan, serta OCBC Bank (Malaysia) Berhad merupakan ejen memudahkan penerbitan program sukuk tersebut. 

 

Menurut makluman Kimlun kepada Bursa Malaysia, Program ICP mempunyai tempoh sehingga tujuh tahun daripada tarikh terbitan pertama. 

 

“Setiap ICP akan mempunyai tempoh sekurang-kurangnya sebulan hingga 12 bulan, dan akan matang pada atau sebelum tamat tempoh program ICP.

 

“Tempoh program IMTN pula berterusan. Setiap IMTN akan mempunyai tempoh sekurang-kurangnya setahun dan akan ditentukan sebelum penerbitan setiap IMTN oleh syarikat dengan persetujuan Pengatur Utama dan Pengurus Utama,” jelas Kimlun.

 

Menurut Kimlun, hasil daripada penerbitan sukuk itu akan digunakan oleh kumpulan termasuk untuk tujuan korporat am yang mematuhi syariah kumpulan, merangkumi keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan, pemerolehan dan perbelanjaan lain yang berkaitan.

 

Selain itu, kumpulan juga merancang untuk menggunakan hasil tersebut bagi membiayai semula pembiayaan sedia ada di mana mungkin melibatkan pinjaman konvensional kumpulan.

 

Setakat 3.17 petang, harga saham Kimlun menyusut 0.5 sen kepada 80 sen. - DagangNews.com