KUALA LUMPUR 16 Feb - Maybank Investment Bank (IB) Research menyifatkan isu sebenar dalam pelancaran 5G di Malaysia masih belum ditangani sewajarnya.
Ini mengukuhkan lagi pandangan 'neutral' firma itu terhadap sektor telekomunikasi memandangkan kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan model 5G.
Malah, katanya, ketidaktentuan dasar dilihat akan terus mempengaruhi sentimen dalam tempoh terdekat.
"Masalah sebenar masih kekal tidak menentu dalam pelaksanaan model 5G ini. Kerajaan pada Disember lalu mahu menyemak semula model 5G dilaksanakan Digital Nasional Bhd. (DNB), yang mana keputusan itu sepatutnya diketahui Januari 2022.
"Namun, setakat ini tiada pengumuman rasmi dibuat. Malah, 3 syarikat telekomunikasi terbesar di negara ini (Celcom, Digi dan Maxis) dan UMobile pula masih belum menerima tawaran DNB bagi menyediakan perkhidmatan borong 5G secara percuma.
"Terdapat beberapa laporan sebelum ini mencadangkan bahawa sambungan 2600MHz akan bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang menerima perkhidmatan DNB, tetapi nampaknya ia tidak berlaku setakat ini," katanya dalam nota kajian.
Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan YTL Communications Sdn. Bhd. merupakan 2 operator pertama yang memanfaatkan tawaran DNB bagi perkhidmatan borong 5G percuma kepada semua pengendali rangkaian mudah alih yang disepadukan dalam rangkaian DNB.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 6 Disember lalu berkata, Kabinet masih dalam perbincangan sama ada akan melaksanakan 5G melalui Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) atau mempunyai beberapa sistem bagi membolehkan persaingan.
Minggu lalu, Celcom Axiata, Maxis dan Digi Telecommunications telah menerima tawaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi peruntukan spektrum diikuti TM pada awal minggu ini untuk tempoh 5 tahun mulai 1 Julai 2022.
Secara keseluruhan, Maybank IB meletakkan TM sebagai pilihan utama sektor itu kerana ia akan mendapat manfaat daripada permintaan fiber yang lebih tinggi menerusi penggunaan jalur lebar dan 5G di samping usaha pengoptimuman kos yang dilaksanakannya.
"Kami juga menyukai Axiata Group Bhd., kerana memiliki pertumbuhan dividen jangka panjang dan pemulihan pendapatannya juga kekal kukuh," tambahnya.
Bagi kedua-dua saham itu, ia memberi saranan 'beli' terhadap TM dan Axiata dengan harga sasaran masing-masing pada RM7.40 dan RM4.50. - DagangNews.com








