KUALA LUMPUR 20 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengulangi pandangan 'neutral' meskipun terhadap perkembangan positif dalam sektor telekomunikasi (telco) setelah 6 syarikat disahkan bersetuju mengambil pegangan dalam Digital Nasional Bhd. (DNB).
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua rundingan berjalan dengan baik dan mencapai kesepakatan yang akan selesai pada 8 Julai.
Ini berikutan pada Mac lalu, kerajaan membuka peluang kepada semua penyedia perkhidmatan komunikasi untuk memiliki 70% kepentingan ekuiti di dalam DNB.
Penganalisisnya, Tan J Young berkata, di sebalik perkembangan positif itu, butiran mengenai perkara berkenaan masih tertangguh termasuklah tawaran akses rujukan (RAO) yang belum dimuktamadkan lagi.
"Namun, kami memuji langkah kerajaan menubuhkan DNB bagi melancarkan satu infrastruktur 5G neutral tunggal," katanya dalam nota kajian hari ini.
Beliau mendapati indeks telekomunikasi (KLTELL) merosot sebanyak 13% pada separuh pertama 2022 mengatasi kerugian FBM KLCI sebanyak 8%, diheret turun ketidaktentuan kawal selia 5G dan impak Cukai Makmur.
Dalam persekitaran 'hawkish' ini, katanya, hasil dividen telco dengan purata sekitar 4% adalah tidak menarik berbanding kadar faedah bebas risiko untuk merangsang minat belian domestik dan asing.
"Pegangan saham asing juga tidak berubah dengan penjualan yang lebih ketara diperhatikan dalam Telekom Malaysia Bhd. (TM).
"Oleh itu, strategi taktikal kami untuk memilih talian tetap berbanding wayarles telah berfungsi dengan baik dengan kedua-dua pilihan utama, TM dan Time dotCom Bhd., mengalami kerugian yang lebih kecil berbanding indeks yang lebih luas," tambahnya.
Menurutnya lagi, sekiranya penggabungan Celcom dan Digi menjadi kenyataan, persaingan pasaran dijangka lebih sihat dengan pengurangan harga yang lebih rendah untuk meraih keuntungan bahagian pasaran.
Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan pandangan 'neutral' dan mengulangi penekanannya pada talian berbanding mudah alih kerana mereka adalah penerima utama dalam penggunaan infrastruktur jalur lebar/5G.
Pilihan utamanya bagi sektor itu ialah saham TM dan Time dotCom dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) masing-masing pada RM7.23 dan RM5.37 sesaham.
Bagaimanapun, ia mengurangkan TP Maxis Bhd. kepada RM3.19 daripada RM3.96 setelah mengambil kira persekitaran kadar faedah yang meningkat.
Selain itu, TP Axiata Group Bhd. juga dikurangkan kepada RM2.81 daripada RM4.49 sebelum ini. Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Maxis dan Axiata. - DagangNews.com








