Kerugian Bina Darulaman pada suku pertama meningkat kepada RM6 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian Bina Darulaman pada suku pertama meningkat kepada RM6 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Mei - Bina Darulaman Bhd. (BDB) merekodkan kerugian bersih yang lebih tinggi pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 sebanyak RM6 juta berbanding RM3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Kerugian lebih tinggi itu disebabkan margin yang lebih rendah menerusi segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari, menurutnya dalam makluma di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagaimanapun, hasil pada tempoh berkenaan meningkat 5.35% kepada RM31.5 juta berbanding RM29.9 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Segmen hartanah kumpulan menyumbang hasil sebanyak RM11.9 juta daripada RM10.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan kerugian sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM2.2 juta. 

 

Ini berikutan impak positif daripada inisiatif penjimatan kos yang dilaksanakan kumpulan bagi segmen berkenaan.

 

Sementara itu, segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari merekodkan hasil yang lebih rendah sendikit sebanyak RM19.3 juta pada suku berkenaan daripada RM19.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Namun, ia mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.9 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM700,000 disebabkan margin yang lebih rendah daripada aktiviti pembinaan dan kerja-kerja menurap jalan.

 

Menurut BDB, kumpulan komited untuk menyiapkan nilai kontrak sedia ada seperti dijadualkan, antaranya, projek Loji Rawatan Air Pelubang dijangka siap menjelang 2024. 

 

Katanya, segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari juga yakin baki projek penyelenggaraan jalan negeri akan menyumbang secara positif kepada kumpulan.

 

"Segmen hartanah pula kekal fokus untuk membangunkan bank tanah dan kawasan perbandaran sedia ada dengan menambah nilai kepada baki bank tanah sedia ada. 

 

"Pembangunan usaha sama projek rumah mampu milik yang terletak di Bandar Amanjaya, Sungai Petani kini sedang dijalankan," katanya.

 

Bagaimanapun, kumpulan yakin nilai kontrak dan pembangunan perbandaran/bank tanah sedia ada mencukupi untuk meningkatkan prestasi kumpulan pada masa depan. - DagangNews.com