KUALA LUMPUR 4 Ogos - Censof Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Century Software (Malaysia) Sdn. Bhd. (CSM) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan University Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMY) bagi tempoh selama 3 tahun.
MoU itu bagi menyediakan kerjasama industri-universiti antara CSM dan UNIMY untuk memacu evolusi industri teknologi digital dengan membangunkan dan menyampaikan program latihan dan inisiatif dunia sebenar kepada pelajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Dr Zainul Ariffin berkata, langkah yang mereka laksanakan adalah bertujuan untuk mewujudkan kebaikan yang lebih besar bagi pembangunan modal insan, dengan memberi penekanan kepada teknologi digital dengan pertumbuhan yang memberangsangkan bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global.
Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak akan menyaksikan CSM dan UNIMY menawarkan program latihan amali dan program pelatih pengurusan CSM yang membolehkan pelajar mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari, dalam dunia sebenar.
"Program pengetahuan dan latihan yang dirancang oleh CSM untuk pelajar UNIMY akan menyediakan pelajar dengan kelebihan daya saing dalam pasaran kerja dan mempunyai laluan dan kawalan yang lebih jelas dalam kerjaya pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

CSM merupakan syarikat teknologi yang menawarkan pengurusan kewangan dan penyelesaian perniagaan terkini kepada sektor awam dan komersial di rantau Asia Pasifik.
Selain itu, ia juga menyediakan penyelesaian lain yang bersesuaian dalam bidang pendidikan, pengurusan kekayaan, analisis perusahaan, pembangunan aplikasi dan penyelesaian latihan.
Sementara itu, UNIMY diasaskan pada 2012 dengan matlamat untuk mewujudkan sebuah negara digital.
Didorong oleh tujuan bersama untuk mencipta masa depan yang lebih baik melalui teknologi, pendidikan, penyelidikan dan inovasi, UNIMY memupuk pelajar untuk menghadapi cabaran IR 4.0 dan transformasi digital pekerjaan masa depan.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMY, Prof. Madya, Ts Dr Zulkarnain Kedah berkata, dengan kerjasama CSM, UNIMY menyasarkan untuk merapatkan jurang antara bilik kuliah dan dunia pekerjaan untuk melahirkan graduan yang bersedia memasuki industri.
Katanya, revolusi industri 4.0 telah mencipta banyak peluang baharu serta permintaan pasaran, justeru, kerjasama antara industri dan institusi pendidikan adalah jalan ke hadapan untuk membangunkan idea baharu dan kekal relevan dalam ekonomi digital yang berkembang pesat masa kini.
"Kemungkinan terdapat peluang kerjasama antara pensyarah dan pembangun terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin," katanya. - DagangNews.com








