KUALA LUMPUR 31 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, intervensi segera akan diambil oleh agensi-agensi kerajaan bagi mengawal kenaikan harga bahan binaan kerana ia memberi kesan kepada projek pembangunan.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, kerajaan memberikan perhatian serius kepada kenaikan harga bahan binaan.
Katanya, beliau turut meminta kementerian-kementerian mempercepatkan projek pembangunan semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara pagi tadi.
"Projek-projek pembangunan amat penting kerana ia memberikan kesan berganda khususnya untuk menggerakkan ekonomi akar umbi.

"Di bawah Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan asas," katanya. - DagangNews.com








