Kerajaan negeri dan PBT digesa percepat tubuh unit MyMudah, tangani kerenah birokrasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan negeri dan PBT digesa percepat tubuh unit MyMudah, tangani kerenah birokrasi

KUALA LUMPUR 26 Julai - Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bersetuju supaya Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyegerakan penubuhan Unit Malaysia Mudah (MyMudah) di peringkat kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Pengukuhan fungsi dan tanggungjawab Unit MyMudah merupakan langkah proaktif dan komited kerajaan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi yang boleh merencatkan pemulihan ekonomi negara.

 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, MPC komited menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi di semua peringkat.

 

Katanya, MPC akan melipatgandakan usaha bagi memantau dan memudahcara penyelesaian kes-kes kompleks berkaitan kerenah birokrasi dalam masa 60 hari, seperti yang disarankan melalui mesyuarat EAC.

 

"Isu-isu ini diterima melalui platform MyMudah, dan sehingga kini 30% daripadanya berjaya diselesaikan dalam masa kurang 60 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

MPC, selaku agensi pemantau dan pemudahcara penubuhan Unit MyMudah, giat melaksanakan sesi penerangan dan pembangunan kapasiti di peringkat kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, PBT, dan persatuan perniagaan. 

 

Terkini, hampir 50 Unit MyMudah telah ditubuhkan di pelbagai peringkat.

 

Perdana Menteri, dalam satu kenyataan media menggesa MPC mempercepatkan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya, serta memberi tumpuan kepada penubuhan Unit MyMudah di peringkat PBT, bagi menangani kerenah birokrasi.

 

 

Abdul Latif Abu Seman
Abdul Latif Abu Seman

 

 

Menurut Abdul Latif, kes-kes kompleks berkaitan kerenah birokrasi perlu ditangani dengan segera bagi memudahcara kelancaran menjalankan perniagaan. 

 

Antaranya melibatkan rantaian arahan dan kelulusan pelbagai peringkat, proses dan prosedur yang bertindih, berulang, dan tidak bersepadu, serta pengenalan peraturan baharu yang meningkatkan kos menjalankan perniagaan.

 

“Kerenah birokrasi memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam merangka dan melaksanakan penyelesaian iatu kerjasama erat agensi kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan PBT amat diperlukan bagi memastikan keberkesanan usaha ini.

 

“Penambahbaikan ini akan meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan kebertanggungjawaban dalam penyampaian perkhidmatan awam, mengurangkan kos menjalankan perniagaan, dan membawa kepada ekosistem peraturan negara yang lebih efisien dan efektif”, katanya.

 

Program MyMudah bermula pada Julai 2020 sebagai langkah bukan fiskal kerajaan dalam membantu komuniti perniagaan dari dibebani beban peraturan yang tidak wajar dan kerenah birokrasi. 

 

Pada peringkat awal, program MyMudah membantu perniagaan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

 

MyMudah seterusnya diperkukuh dan diperluaskan perlaksanaannya melalui keputusan Mesyuarat EAC pada bulan November 2021 supaya Unit MyMudah ditubuhkan di semua institusi kerajaan dan persatuan perniagaan. 

 

Fungsi utama Unit MyMudah ialah membuat semakan, merangka dan melaksanakan penyelesaian terhadap peraturan yang memberi beban yang tidak wajar kepada rakyat dan perniagaan.

 

Pelaksanaan MyMudah dipantau secara langsung oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan melibatkan penyertaan pemegang taruh dan pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta.

 

Antara kejayaan MyMudah ialah Projek E10: Permit Pembinaan Ekspres yang mempercepatkan pengeluaran permit pembinaan dari 24 bulan kepada hanya 10 bulan dan projek meningkatkan kecekapan pergerakan dokumen di kilang berstatus Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) dari 3 hari kepada hanya 1 minit. - DagangNews.com