Kerajaan kaji cadangan RSF bagi perbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks Kebebasan Akhbar Dunia - Fahmi | DagangNews Skip to main content

Kerajaan kaji cadangan RSF bagi perbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks Kebebasan Akhbar Dunia - Fahmi

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan akan mengkaji cadangan Reporters Without Borders (RSF) berhubung langkah sewajarnya untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia, kata Fahmi Fadzil.

 

Menteri Komunikasi itu berkata, beliau mengalu-alukan kesediaan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu untuk bekerjasama dengan Malaysia.

 

"Kami mungkin tidak semestinya menerima cadangan mereka secara terang-terangan tetapi akan mengkaji secara menyeluruh dan melihat apa yang sesuai untuk Malaysia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di sini hari ini, Bernama melaporkan.

 

Laporan Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2024 yang dikeluarkan oleh RSF pada 3 Mei lalu, menunjukkan kedudukan penarafan Malaysia jatuh 34 anak tangga berbanding kedudukan ke-73 tahun lalu, dengan markah 52.07 mata.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Penarafan kebebasan akhbar Malaysia menjunam ke tangga 107 dalam penilaian pertama di bawah kerajaan Anwar

 

Fahmi berkata walaupun beliau menerima laporan itu dengan niat baik, ia tidak boleh dianggap sebagai standard emas dalam menentukan tahap kebebasan media di negara ini.

 

Menurutnya, isu Indeks Kebebasan Akhbar Dunia bukan sahaja melibatkan Kementerian Komunikasi tetapi juga undang-undang di bawah beberapa kementerian lain.

 

 

 

 

"Sebagai contoh, isu berkaitan komuniti LGBT. Kita tahu pendirian Malaysia dalam isu ini dan kesesuaian beberapa perkara dalam acuan Asean atau adat Timur," katanya.

 

Beliau turut menyelar kenyataan ahli majlis tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan yang membandingkan kedudukan Malaysia dengan Israel dalam indeks itu.

 

"Tidak seperti Israel, kita tidak membunuh orang seperti yang berlaku di Gaza. Kita juga tidak menutup mana-mana saluran media seperti yang berlaku semalam apabila Israel menutup dan menggeledah pejabat Al Jazeera," katanya. - DagangNews.com