Kerajaan baharu mungkin perlu bentangkan semula Bajet 2023, ramal penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan baharu mungkin perlu bentangkan semula Bajet 2023, ramal penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Okt - Bajet 2023 kemungkinan perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baharu sekali gus melewatkan lagi proses mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat, demikian menurut MIDF Research.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, insiden sedemikian pernah berlaku pada 1999 ketika kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan pembubaran Parlimen berlaku selepas bajet dibentangkan.

 

"Terdapat kemungkinan ia berlaku sama kali ini. Cuma bezanya, Barisan Nasional (BN) ketika itu mempunyai majoriti yang kukuh menjelang pilihan raya pada 1999. 

 

"Kami berpendapat satu-satunya kemungkinan yang akan menjejaskan pembentangan Bajet 2023 ialah pembubaran Parlimen dan menggesa diadakan pilihan raya umum tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

 

Perdana Menteri membuat pengumuman itu setelah kerajaan selesai membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

 

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU-15.

 

Mengikut proses, sebaik notis pemakluman rasmi pembubaran Parlimen diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, ia kemudian akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai tempoh 60 hari bagi menyempurnakan urusan pilihan raya.

 

Pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembentangan semula Bajet 2023, jika berlaku pembubaran Dewan Rakyat, akan dibuat mengikut kerangka berdasarkan keadaan ekonomi ketika ini.

 

Beliau berkata, tidak timbul isu pembentangan semula belanjawan berkenaan akan menyebabkan proses penyediaan bajet yang dibentangkan pada hari ini, sia-sia.

 

 

Parlimen Malaysia

 

 

Menurut MIDF Research, dalam tempoh dua tahun lalu, kerajaan pusat berada dalam situasi tidak terlalu stabil (kedua-duanya merupakan gabungan) dengan majoriti tipis di Parlimen.

 

Kini, katanya, negara sedang menghampiri pilihan raya umum akan datang di bawah keadaan ketidakstabilan politik yang agak tinggi.

 

"Namun begitu, kami menganggap kemungkinan keputusan PRU-15 adalah sama ada neutral (iaitu kerajaan majoriti tipis lain), atau positif (iaitu kerajaan majoriti yang lebih stabil) kepada negara.

 

"Tetapi, kemungkinan parlimen yang digantung dapat dielakkan memandangkan Yang di-Pertuan Agong sebagai penimbang tara terakhir mempunyai kuasa perlembagaan untuk melantik seorang Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Parlimen yang beliau percaya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen," jelasnya. 

 

Firma itu menyifatkan meskipun PRU-15 mungkin mengujakan dari sudut politik, tetapi bagi pasaran ekuiti, faktor luaran dijangka terus mempengaruhi sentimen. 

 

Ini berikutan dasar monetari yang agresif daripada bank pusat utama, konflik Rusia-Ukraine dan situasi ekonomi di China.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan PRU-15 hanya akan menambah ketidaktentuan dan boleh menjejaskan sentimen secara negatif.

 

"Kami melihat keadaan di mana penilaian pasaran ekuiti tempatan kekal agak tertekan (di bawah julat normal) disebabkan tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) melanjutkan pengetatan agresif ke atas mudah tunai kewangan dunia.

 

"Selain itu, penilaian ekuiti juga boleh dipengaruhi oleh risiko lebih tinggi yang dikaitkan dengan ramalan pendapatan yang sepadan dengan ketidakpastian makroekonomi," jelasnya. 

 

Memandangkan sentimen pasaran mungkin lemah menjelang PRU-15, firma itu percaya pelabur harus mencari sektor yang lebih agnostik terhadap keputusan pilihan raya dan dengan asas baik yang berkait rapat dengan prestasi ekonomi, seperti sektor perbankan.

 

Secara dasarnya, firma itu menjangkakan penilaian pasaran ekuiti tempatan menokok lebih tinggi daripada paras semasa sejajar dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif pada 2023.

 

MIDF Research mengekalkan unjuran FBM KLCI bagi akhir tahun ini pada 1,520 mata meskipun terdapat kebimbangan kelewatan seterusnya daripada Rizab Persekutuan AS boleh menekan penilaian ekuiti di bawah paras nomal disebabkan kesan negatif daripada pengetatan agresif terhadap kecairan kewangan dan prestasi makroekonomi. 

 

Malah, ia menjangkakan pemulihan makroekonomi Malaysia kekal berada di landasan yang betul dengan unjuran pertumbuhan KDNK 4.2% pada 2023 di sebalik risiko kemelesetan di AS. - DagangNews.com