Kenanga Research unjur ketibaan pelancong ke Malaysia melonjak kepada 9.6 juta bagi tahun 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research unjur ketibaan pelancong ke Malaysia melonjak kepada 9.6 juta bagi tahun 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - Kenanga Research mengunjurkan jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia melonjak empat kali ganda kepada 9.6 juta pada tahun ini berbanding anggaran 2.5 juta pada tahun lalu.

 

Menurut firma tersebut, ini adalah berikutan pemulihan perjalanan untuk perniagaan dan riadah di seluruh dunia pasca pandemik termasuk pelancong China yang mengikut sejarah telah menyumbang kepada anggaran 12% daripada jumlah pelancong di Malaysia.

 

“Ini sepatutnya menyokong pertumbuhan dalam trafik penumpang Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) dan permintaan penumpang Capital A pada tahun 2023,” kata firma penyelidikan itu.

 

Firma itu turut mengunjurkan peningkatan penumpang bagi seluruh sistem MAHB sebanyak 38% kepada 116 juta pada 2023, namun masih jauh untuk setara dengan jumlah pra-pandemi 141 juta yang dicatatkan pada 2019.

 

“Kami menjangkakan trafik trajektori akan berkembang pada beberapa bulan berikutnya apabila syarikat penerbangan terus mengaktifkan semula lebih banyak pesawat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 

Memperkukuh trajektori pertumbuhan trafik adalah pergerakan pesawat untuk meningkatkan penerbangan jarak sederhana dan jauh ke Perth, Sydney dan Auckland serta beberapa destinasi di Asia Tenggara dan Asia Selatan,” katanya.

 

Untuk tahun ini, firma itu mengunjurkan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) Capital A meningkat 52% kepada 35 bilion bagi tahun kewangan 2023 (FY223) setelah pulih daripada 19 bilion kepada 24 bilion pada tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Di samping itu, Capital A telah merancang untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17) dan butiran pelan penyusunan semula akan diumumkan menjelang pertengahan April tahun ini.

 

Sementara itu, kenaikan tarif MAHB yang diperlukan dilihat tidak akan berlaku berikutan penerbitan kertas rundingan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) baru-baru ini.

 

MAVCOM telah mengekalkan status quo tarif lapangan terbang yang berisiko menjejas keupayaan MAHB untuk menjana aliran tunai untuk tujuan perbelanjaan modal, terutamanya bagi perluasan dan penyelenggaraan lapangan terbang.

 

Kenangan Research kekal ‘neutral’ terhadap sektor penerbangan dan tidak mempunyai sebarang pilihan untuk sektor ini. -DagangNews.com