KUALA LUMPUR 21 Dis - Kenanga Research menjangkakan perbelanjaan modal (capex) Petronas bagi 2023 menyamai paras pada tahun lalu sekitar RM60 bilion dengan segmen huluan minyak dan gas kekal menjadi pelaburan utama.
Penganalisisnya, Steven Chan berkata, ia akan mengekalkan tahap aktiviti, dan meneruskan aliran pemulihan yang telah dilihat sepanjang 2022.
Menurutnya, kedudukan tunai bersih semasa Petronas juga kekal kukuh pada RM103 bilion, tertinggi sejak akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (FY18), dipacu harga minyak semasa yang tinggi.
"Oleh itu, kami melihat sedikit kesukaran bagi Petronas untuk memenuhi komitmen capex dan dividennya, walaupun ia akan menaikkan dividen pada 2023 daripada RM35 bilion (daripada RM50 bilion pada 2022)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Ogos lalu, Petronas mengumumkan dividen tambahan sebanyak RM25 bilion untuk disalurkan kepada kerajaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bayaran dividen sebanyak RM50 bilion bagi 2022.
Pembayaran dividen itu adalah tambahan kepada RM25 bilion yang telah diluluskan pada Februari lalu selepas lembaga pengarah meneliti kemampuan kumpulan untuk terus membiayai operasi, melunaskan hutang dan memenuhi obligasi serta melabur bagi pertumbuhan masa depan.
Baca : Ketidaktentuan dalam pasaran tenaga akan berterusan - laporan Petronas
Dalam laporan prospek aktiviti bagi 2023-2025, syarikat utiliti negara itu kekal positif terhadap prospek aktiviti penggerudian pelantar, perkhidmatan telaga dan bawah laut berikutan keperluan aktiviti baik pulih dan penyelenggaraan untuk mengekalkan integriti kemudahan luar pesisir.
Kenanga Research positif dengan prospek aktiviti Petronas yang menyaksikan syarikat minyak dan gas (O&G) seperti Uzma Bhd., Velesto Energy Bhd. dan Dayang Enterprise Holdings Bhd. akan meraih manfaat utama.
Sehubungan itu, ia mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor O&G terutamanya didorong harga minyak yang kekal tinggi dan pemulihan capex dan tahap aktiviti.
Malah, firma itu juga mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent akan berlegar sekitar AS$80 setong pada tahun hadapan.
Pilihan utamanya bagi sektor itu ialah Petronas Chemicals Group Bhd. dan Bumi Armada Bhd. - DagangNews.com








