KUALA LUMPUR 13 Jan - Kenanga Research menyemak turun unjuran pendapatan tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 (FY24) bagi Yinson Holdings Bhd. sebanyak 4% setelah mengambil kira pemberhentian kontrak penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) Adoon.
Ini menyaksikan harga sasarannya juga disemak lebih rendah kepada RM3.05 daripada RM3.15 dengan mengekalkan pandangan 'outperform'.
"Secara keseluruhan, kami neutral terhadap kejayaan kumpulan menyelesaikan kontrak ini, memandangkan ia telah dijangka berakhir dengan baik.
"Penjualan FPSO membolehkan Yinson mengitar semula modalnya dan memperuntukkan sumbernya dengan lebih baik kepada projek akan datang yang lebih baharu dengan FPSO kekal di lapangan di bawah kendalian pemilik baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Yinson Production, cabang perniagaan pengeluaran luar pesisir Yinson telah berjaya menyelesaikan kontrak 16 tahun untuk FPSO Adoon, yang beroperasi di Blok OML 123 luar pesisir Nigeria.
Kontrak itu mempunyai tempoh asal selama lapan tahun sehingga 2014 dengan pilihan untuk dilanjutkan lapan tahun lagi sehingga 2022.
Kontrak itu dilanjutkan lagi oleh pelanggan, Addax Petroleum Development (Nigeria) Limited melalui lanjutan bulanan berturut-turut sehingga Januari 2023.
Addax melaksanakan pilihan kontraknya untuk membeli FPSO Adoon pada penghujung tempoh kontrak dan penjualan telah selesai pada 11 Januari 2023.
Dalam pada itu, Kenanga Research juga percaya kontrak bagi sewaan FPSO Agogo dijangka dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang.
"Memandangkan betapa ketatnya pasaran FPSO global semasa pada masa ini, kami percaya sebarang tender atau kemenangan kontrak baharu akan menghasilkan pulangan dan pilihan pembiayaan yang menarik," katanya.
Setakat 12.16 tengah hari, harga saham Yinson kekal tidak berubah pada RM2.55 sesaham. - DagangNews.com








