KUALA LUMPUR 18 Feb - Kenanga Research mengurangkan unjuran untung bersih Kossan Rubber Industries Bhd. sebanyak 10% bagi tahun kewangan 2022 (FY22) setelah harga purata jualan (ASP) sarung tangan getah disemak lebih rendah.
Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon menganggarkan ASP akan menurun kepada AS$25 per 1,000 keping daripada AS$27 yang diunjurkan sebelum ini.
Katanya, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga disemak turun daripada 20% kepada 19%.
"Kumpulan menyatakan prestasi kumpulan pada suku keempat terjejas akibat cabaran logistik yang disebabkan kekurangan penghantaran global yang kami faham tidak mungkin berkurangan dalam tempoh 2 suku akan datang.
"Pada masa sama, margin pada suku berikutnya mungkin terjejas kerana kos bahan mentah tidak selaras dengan penurunan ASP yang pantas, justeru, pendapatan dijangka lebih rendah secara berurutan pada suku pertama 2022," katanya.
Kossan Rubber merekodkan untung bersih yang lebih rendah pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021, merosot 60% kepada RM218.67 juta berbanding RM543.42 juta untuk tempoh sama 2020.
Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 29.26% kepada RM924.56 juta daripada RM1.31 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan ASP yang lebih rendah.
Bagaimanapun, keuntungan bersih Kossan Rubber melonjak kepada RM2.85 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) berbanding RM1.08 bagi tempoh sama tahun lalu.
Untuk tempoh itu, pendapatan naik 82.97% kepada RM6.66 bilion daripada RM3.64 bilion yang dicatatkan semasa tahun kewangan 2020 susulan hasil yang lebih tinggi daripada bahagian pembuatan sarung tangan, produk getah teknikal (TRP) dan operasi bilik bersih.
Ping Khoon berkata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras bagi FY21 adalah sejajar dengan jangkaannya pada 95% dan 96% unjuran penuh konsensus.
Secara keseluruhan, beliau mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap Kossan Rubber tetapi menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM1.65 daripada RM1.80 sebelum ini.
"Disebabkan situasi terlebih tempahan dalam tempoh 15 bulan lalu sejak wabak COVID-19 bermula, pasaran kini sedang menjalani fasa pelarasan inventori.
"Kumpulan turut merancang untuk mengembangkan kapasiti dalam tempoh 2 tahun lagi. Apabila kilang pengeluaran baharu di Meru, Klang dan Bidor, Perak masing-masing meningkatkan kapasiti secara beransur-ansur apabila pembinaan siap sepenuhnya, ia akan menjadikan kapasiti kumpulan meningkat kepada 42.4 bilion daripada 32 bilion setahun," jelasnya.
Setakat 9.26 pagi ini, saham Kossan Rubber menokok 8 sen atau 4.73% kepada RM1.77 dengan 1.82 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








