KUALA LUMPUR 14 April - Kenanga Research menjangkakan sektor pembuatan terus berdepan tekanan bagi jangka pendek akibat gangguan rantaian global berterusan terutama daripada langkah kawalan pergerakan COVID-19 oleh China.
Firma itu berkata, konflik berterusan melibatkan Rusia-Ukraine juga memberi kesan kepada sektor pembuatan negara yang sekali gus membuatkan indeks pengurus pembelian (PMI) Malaysia menurun kepada 49.6 pada Mac berbanding 50.9 pada Februari 2022.
"Dalam perkembangan sama, permintaan daripada pasaran domestik dijangka meningkat selepas kes COVID-19 tempatan mencatatkan penurunan selain pembukaan semula sempadan antarabangsa.
"Kami mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.0% hingga 5.5% bagi 2022 berbanding 3.1% pada 2021.
"Kami juga yakin Malaysia akan mengekalkan momentum pemulihannya apabila beralih ke fasa endemik tetapi ia tetap bergantung kepada faktor luaran untuk meneruskan pertumbuhan," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, indeks perkembangan pembuatan mencatatkan perkembangan perlahan untuk tiga bulan berturut-turut iaitu 5.2% berbanding Januari 6.8% dan ia selari dengan perkembangan sederhana eksport iaitu 16.8% berbanding 23.5% Januari dan perkembangan jualan pembuatan iaitu 11.2% berbanding 13.1% pada awal tahun 2022.
Perkembangan sederhana itu katanya adalah disebabkan penguncupan perkembangan petroleum, kimia, getah dan produk platik (-2.3%; Januari:0.1%) yang terendah dalam tempoh 21 bulan.
Ia juga didorong oleh penghasilan produk elektrik dan elektronik yang perlahan iaitu 12.8% berbanding 14.4% pada Januari 2022.
"Perbandingan bulan ke bulan (-7.2%; Jan: -1.7%) mencatatkan penurunan kepada tahap terendah dalam 22 bulan dan ia disebabkan penghasilan yang rendah dalam sektor pembuatan, terutamanya dalam subsektor mineral bukan logam, logam asas dan logam fabrikasi, dan makanan, minuman & tembakau," katanya. - DagangNews.com








