KUALA LUMPUR 29 Sept – Pendapatan Scientex Bhd. meningkat 14.5% kepada RM1.1 bilion pada suku keempat berakhir 31 Julai 2022 berbanding RM970.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, untung bersihnya pada suku tersebut susut kepada RM124.98 juta daripada RM142.65 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Segmen pembungkusan menyumbang 66.7% atau RM740.8 juta daripada keseluruhan pendapatan, meningkat 20% tahun ke tahun daripada RM617.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan permintaan kukuh pembungkusan bagi pasaran domestik dan eksport.
Sementara itu, segmen hartanah menyumbang 33.3% atau RM370.5% pendapatan, didorong kemajuan pembayaran yang kukuh bagi projek hartanah yang sedang berjalan dan pelancaran baharu di Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.
Di sebalik merekodkan pendapatan yang lebih tinggi, keuntungan operasi pada suku keempat berjumlah RM178.7 juta, peningkatan kecil 1.6% daripada RM175.8 juta sebelumnya, kesan daripada peningkatan kos bahan binaan dan buruh.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 (FY22), pendapatan Scientex meningkat 9% kepada RM4 bilion daripada RM3.7 bilion tahun sebelumnya dipacu terutamanya pertumbuhan dalam segmen plastik.
Untung bersihnya bagi tempoh itu pula susut kepada RM409.9 juta daripada RM457.2 juta yang direkodkan bagi tempoh sama FY21 disebabkan kos bahan mentah dan operasi bagi segmen pembungkusan yang lebih tinggi dan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah.
Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin berkata, bahagian pembungkusan Scientex bersedia untuk membuka pasaran baharu dengan lebih agresif apabila selesai pelan pengembangan di beberapa kilang miliknya.
Selain itu, katanya, tempahan yang kukuh bagi projek hartanahnya di pelbagai negeri menunjukkan permintaan yang stabil untuk rumah mampu milik.
"Kami juga memperkukuhkan daya tahan operasi dan kecekapan rantaian bekalan, dan ambil perhatian peningkatan beransur-ansur dalam ketersediaan buruh untuk kedua-dua bahagian.
"Oleh itu, kami optimis untuk mencapai prestasi yang stabil pada tahun kewangan FY23," katanya. -DagangNews.com








