KUALA LUMPUR 3 Mac - Sektor perladangan serta minyak dan gas (O&G) terus mendapat manfaat daripada krisis Rusia-Ukraine apabila harga komoditi semakin melonjak, menurut AmInvestment Bank Research.
Penganalisisnya, Alan Lim Seong Chun berkata, hanya Bumi Armada Bhd., antara syarikat di bawah liputannya mempunyai pendedahan langsung berdasarkan kontrak Lukoil AS$50 juta di Laut Caspian yang mungkin dikenakan sekatan global.
Namun, katanya, secara tidak langsung, persekitaran harga minyak mentah yang lebih tinggi akan diterjemahkan kepada hasil yang lebih tinggi dan pendapatan penerokaan dan operator pengeluaran seperti Hibiscus Petroleum Bhd. dan sedikit sebanyak, Sapura Energy Bhd. serta Dialog Group Bhd.
"Memandangkan kitaran harga semasa boleh merangsang pelaburan baharu dalam sektor ini, terdapat kemungkinan pelancaran perbelanjaan modal (capex) dipercepatkan yang diterjemahkan kepada peningkatan pesanan dan prospek pendapatan jangka sederhana bagi semua penyedia perkhidmatan merentas rantaian nilai.
"Dalam hal ini, Dialog merupakan salah satu saranan 'beli' kami manakala Hibiscus pula bagi pendedahan tulennya dalam huluan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi sektor perladangan pula, perang di Ukraine ini dijangka menyebabkan masalah kekurangan bekalan bagi minyak sayuran.
Menurut S&P Global Platts, Ukraine menyumbang 46.9% daripada eksport minyak bunga matahari global pada 2020/2021 dan 16% daripada eksport jagung global pada 2021/2022.
Ukraine dan Rusia pula menyumbang 23% daripada perdagangan gandum global pada 2021/2022. Disebabkan pertukaran dari Ukraine kepada pembekal lain, mungkin terdapat kekurangan bekalan jagung atau minyak kacang soya di AS atau Amerika Selatan.
Menurut Seong Chun, situasi itu dijangka melonjakkan harga minyak sayuran dan memberi kelebihan kepada minyak sawit mentah (MSM).
"Oleh itu, kami menaikkan unjuran MSM kepada RM4,000 satu tan metrik bagi tahun ini berbanding anggaran sebelum ini, RM3,000 satu tan metrik.
"Di sebalik harga MSM yang tinggi pada masa ini, terdapat risiko ia akan berkurangan pada separuh kedua 2022 apabila pengeluaran meningkat, disokong oleh faktor musim dan kemasukan pekerja asing," jelasnya.
Beliau berpendapat, syarikat perladangan dengan pendedahan tulen dan tanpa pengurangan harga Indonesia akan mendapat manfaat paling banyak, antaranya termasuklah Hap Seng Plantations Bhd.
"Syarikat tanpa operasi hiliran yang ketara pula termasuk TSH Resources Bhd. dan Genting Plantations Bhd," katanya.
Menilai keseluruhan sektor, Seong Chun berkata, meskipun hampir kesemua syarikat di bawah liputannya tidak mempunyai kesan langsung kepada Rusia mahupun Ukraine, tetapi kesan tidak langsung daripada kenaikan harga komoditi dan kos bahan mentah akan memberi impak negatif kepada sektor pengguna, sarung tangan getah, media dan hartanah.
Ini kerana katanya, satu lagi pusingan kenaikan harga komoditi secara meluas, termasuk minyak mentah, mungkin memberi tekanan seterusnya kepada margin syarikat dan memaksa mereka menaikkan harga produk (sebahagiannya) untuk mengimbangi kesan kenaikan ini.
"Bagaimanapun, ia hanya memberi impak neutral kepada sektor automotif, perbankan, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), insurans, penjagaan kesihatan, REIT, telekomunikasi dan teknologi," jelasnya. - DagangNews.com








