KUALA LUMPUR 18 Julai - AmInvestment Bank Research menyemak semula prospek Capital A Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dengan menjangkakan syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Bhd. itu akan mencatat kerugian bersih teras sebanyak RM1.8 bilion berbanding untung bersih sebanyak RM110 juta yang dianggarkan sebelum ini.
Ini berikutan pemulihannya yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam operasi penerbangan kumpulan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap gelombang baharu jangkitan varian COVID-19.
Firma itu berkata, cadangan kumpulan untuk menyambung semula penerbangan ke China bagi AirAsia Malaysia dan AirAsia Thailand mungkin terjejas dengan penguatkuasaan semula sekatan pergerakan di bandar-bandar utama di negara tersebut di tengah-tengah lonjakan semula jangkitan pandemik.
"Oleh itu, kami mengurangkan untung bersih teras Capital A bagi FY23 sebanyak 52% kepada RM137 juta daripada anggaran RM287 juta sebelum ini, dan turut memperkenalkan untung bersih teras bagi FY24 sebanyak RM487 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, di sebalik pemulihan hasil yang lebih perlahan, tempoh terburuk bagi Capital A dilihat sudah berakhir memandangkan permintaan pengangkutan udara dijangka meningkat semula secara meluas pada 2022.

Data Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menunjukkan keseluruhan bilangan pengembara (mengklasifikasikan perjalanan penghubung berbilang sektor sebagai penumpang tunggal) pada 2021 ialah 47% daripada tahap 2019.
Ia diunjur meningkat kepada 83% daripada tahap 2019 menjelang akhir 2022, seterusnya 94% pada 2023 dan 103% pada 2024.
Pada suku pertama 2022, hanya 72 pesawat yang beroperasi daripada keseluruhan 202 pesawat yang dimiliki Capital A.
Kumpulan merangcang untuk meningkatkan operasi pesawat kepada 178 menjelang suku keempat ini bagi memenuhi permintaan pengangkutan udara bagi pasaran domestik dan antarabangsa.
Ia juga secara beransur-ansur akan membawa balik kakitangan yang diberhentikan untuk menyokong saiz armada operasi yang semakin berkembang.
Pada masa sama, AmInvestment menjangkakan tempat duduk per kilometer (ASK) akan meningkat 4.7 kali ganda daripada 5.7 juta pada FY21 kepada 27 juta tahun ini.
"Oleh itu, kami mengunjurkan hasil FY22 akan meningkat dengan ketara sebanyak 2.3 kali ganda berdasarkan ASK yang diperluaskan serta anggaran faktor muatan sebanyak 75%.
"Kami juga mengunjurkan kos setiap ASK (CASK) berkurangan sebanyak 72% kepada 20 sen pada FY22 daripada 69.6 sen pada FY21, dan seterusnya kembali kepada paras sebelum COVID-19 sebanyak 14 sen pada FY23," katanya.

Firma itu berkata, memandangkan Capital A telah memperkenalkan semula surcaj bahan api mulai Mac tahun ini, pihak pengurusan tidak melindung nilai bahan api jet pada masa ini disebabkan turun naik yang meningkat dalam harga minyak ditambah dengan jualan tempahan hadapan yang tidak stabil.
Sementara itu, katanya, segmen bukan penerbangan yang menyumbang kira-kira 22.5% kepada hasil suku pertama FY22 termasuk Asia Digital Engineering, Digital (AirAsia Super App dan BigPay) akan terus berkembang pesat pada ketika syarikat berusaha untuk mengurangkan turun naik pendapatan dalam perniagaan penerbangan.
Mengenai status PN17, menurutnya, kumpulan berada di landasan yang betul dalam merangka pelan penyusunan (yang akan diserahkan selewat-lewatnya pada Januari 2023), yang tidak mungkin melibatkan cadangan yang akan mengakibatkan pencairan saham.
Kumpulan sebelum ini telah menerima pendapat audit yang bersih daripada Ernst & Young, sekali gus menghapuskan ketidakpastian mengenai statusnya yang masih berterusan.
"Di sebalik penjelasan yang kurang jelas, kami dapati bahawa inisiatif penstrukturan semula mungkin termasuk menutup bahagian syarikat penerbangan dan digitalnya dalam pasaran saham Amerika Syarikat (AS).
"Pada ketika ini, kami melihat sentimen pasaran saham yang tertekan di seluruh dunia sebagai halangan utama untuk prospek penyenaraian alternatif," jelasnya.
Mengambil kira semua faktor, AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Capital A dengan harga sasaran disemak lebih rendah kepada 60 sen daripada 84 sen sesaham sebelum ini.
Setakat 10.55 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 64.5 sen sesaham dengan 1.17 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








