Kementerian Pendidikan salur bantuan selenggara sekolah, teliti masalah guru dan pentadbir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kementerian Pendidikan salur bantuan selenggara sekolah, teliti masalah guru dan pentadbir

Datuk Dr. Radzi Jidin ketika sesi libat urus di Kota Iskandar
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Feb - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti masalah dihadapi guru dan pentadbir, termasuk menyalurkan bantuan penyelenggaraan bagi menyediakan persekitaran sekolah yang lebih selesa untuk warganya.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pengetua, guru besar serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Kota Iskandar, Johor minggu lepas.

 

Jelasnya, pelbagai perkara telah dibincangkan, termasuk usaha-usaha menjadikan sekolah tempat terbaik untuk murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

 

"Pengetua, guru besar serta pegawai JPN Johor dan PPD turut berkongsi pandangan mengenai situasi semasa di sekolah. Ada juga yang berkongsi tentang kekangan dan masalah yang dihadapi oleh guru dan pentadbir.

 

"InsyaAllah, saya akan teliti perkara yang dimaklumkan dan kita ikhtiarkan yang terbaik, termasuk menyalurkan bantuan penyelenggaraan bagi menyediakan persekitaran sekolah lebih selesa untuk warga sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

 

kpm

 

 

Sementara itu, Dr. Radzi juga berkata,  KPM telah mengemukakan surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon supaya guru yang terlibat dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikecualikan daripada penugasan untuk Pilihan Raya Negeri Johor.

 

Beliau berkata, ini kerana mereka perlu memberi tumpuan untuk hal berkaitan peperiksaan SPM.

 

 

kpm

 

 

"Saya turut membuat tinjauan di beberapa sekolah sekitar Johor bagi melihat persediaan dan persiapan untuk peperiksaan SPM 2021 yang akan bermula pada 2 Mac 2022. 

 

"Semasa tinjauan, ramai dalam kalangan guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM sama ada sebagai petugas peperiksaan atau pemeriksa kertas jawapan minta supaya mereka diberikan pengecualian daripada menjadi petugas pilihan raya negeri. 

 

"Saya memahami situasi yang perlu dihadapi oleh guru-guru terlibat. Semoga dipermudahkan segala urusan guru-guru yang dilantik sebagai petugas peperiksaan dan pemeriksa kertas jawapan SPM 2021," katanya.

 

Beliau juga berkesempatan menyertai Majlis Restu Ilmu bersama-sama murid tingkatan 5 yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya dan SMK Taman Nusa Damai. - DagangNews.com