Kelington raih kontrak di Singapura bernilai RM117 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington raih kontrak di Singapura bernilai RM117 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kelington Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (Singapore) Pte. Ltd., meraih kontrak bernilai RM117 juta bagi menyediakan kerja-kerja pengagihan sistem gas pukal dan khusus untuk peneraju dunia dalam kemudahan fabrikasi penyelesaian memori yang inovatif di Singapura.

 

Kontrak itu telah dianugerahkan oleh pelanggan di Singapura yang merupakan peneraju dalam reka bentuk, kejuruteraan, dan penyampaian projek dan kemudahan kompleks utama untuk industri berteknologi tinggi.

 

Kerja-kerja bagi projek tersebut dijangka bermula pada Ogos 2022, dan dijangka siap menjelang Jun 2024.

 

 

Raymond Gan
Raymond Gan

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Ir. Raymond Gan berkata, kumpulan berbesar hati memperoleh kontrak itu daripada pelanggan berulang di Singapura sekali gus membuktikan kekuatan dan keupayaannya untuk menyediakan output yang berkualiti kepada pelanggan tepat pada masanya. 

 

Tahun ini, katanya, Kelington telah mendapat manfaat positif daripada penubuhan dan pengembangan kemudahan berkaitan teknologi di Singapura apabila pengeluar meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk semikonduktor di seluruh dunia.

 

"Hasilnya, projek dari Singapura kini membentuk sebahagian besar daripada nilai kontrak kami.

 

"Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan kami, Kelington akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam tender projek merentasi Ketulenan Ultra Tinggi (UHP), Kejuruteraan Projek dan Segmen Kontrak Am," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dengan perolehan kontrak baharu itu, kumpulan kini mempunyai nilai projek dalam tangan berjumlah RM950 juta, menjadikan nilai kontraknya kepada RM1.85 bilion. - DagangNews.com