KUALA LUMPUR 3 Okt - Kelewatan pemulihan dalam aktiviti perdagangan dijangka menjejaskan pendapatan FM Global Logistics Berhad pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (FY24).
RHB Investment menjangkakan kelewatan pemulihan dalam prestasi perdagangan Malaysia dengan kemungkinan penguncupan eksport dari tahun ke tahun sehingga ke suku keempat 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan pendapatan FM Global Logistics bersambung semula menjelang akhir tahun seiring dengan pemulihan dalam perdagangan domestik dan global, terutamanya disokong oleh ekonomi Amerika Syarikat dan ASEAN.
"Anggaran pendapatan 1HFY24 kami kini berjumlah RM19.8 juta memandangkan ekonomi China kekal lemah untuk separuh kedua 2023.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan peningkatan beransur-ansur menjelang akhir suku keempat tahun ini, disokong oleh kekuatan ekonomi AS dan pemulihan dalam ekonomi serantau," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Mengikut segmen perniagaan, firma penyelidikan itu berkata, dinamik pasaran semasa dijangka terus mempengaruhi perniagaan antarabangsa FM Global Logistics walaupun perniagaan domestik seperti logistik pihak ketiga, pergudangan dan perkhidmatan sokongan harus terus meningkatkan pendapatan kumpulan.
Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran pendapatan FY24 sebanyak 4.6%.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 68 sen berbanding 79 sen sesaham," katanya.
Kumpulan itu bagaimanpun berepan risiko utama termasuk volum dagangan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam bahagian pengangkutan laut dan pengangkutan udara, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, dan kelembapan dalam aktiviti perdagangan global. - DagangNews.com








