Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Nov - Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga tahun ini menguncup pada 3.7% tahun ke tahun.
MARC dalam nota penyelidikannya berkata, permintaan domestik suku ketiga tahun ini tertekan disebabkan penutupan seluruh negara dan kebimbangan mengenai wabak COVID-19, biarpun prestasi eksport kekal teguh.
Ujarnya, berdasarkan data yang dikumpul oleh Google Mobility, ia menyatakan bahawa kesan penutupan terhadap ekonomi terbukti dengan kemerosotan mendadak dalam aktiviti runcit dan rekreasi ke tahap paling rendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) pertama yang dikenakan pada Mac-Mei 2020.
"Akibatnya, jualan runcit mengalami penguncupan sebanyak 8.1% dan 7.5% tahun ke tahun pada Julai dan Ogos.
"Bacaan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan juga berada di bawah 50 sepanjang suku ketiga 2021, menunjukkan kemerosotan dalam keadaan bagi sektor perindustrian," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Bagaimanapun, MARC berkata eksport kekal dalam kedudukan positif, kerana data eksport bulanan bagi Ogos dan September 2021 merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 18.4% dan 24.7% tahun ke tahun.
Ia juga berkata kenaikan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) memberi sedikit sokongan kepada pertumbuhan eksport.
"Kami menjangkakan pemulihan pada suku keempat 2021 berikutan kelonggaran dalam sekatan perjalanan kerana kadar vaksinasi semakin menghampiri keperluan untuk mencapai imuniti kelompok
"Kami percaya permintaan dan pertumbuhan eksport yang mampan akan menjadi pemacu pertumbuhan utama pada suku terakhir tahun ini memandangkan semua negeri, kecuali Kelantan dan Sarawak, kini berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara" katanya.
Ia juga menjangkakan ekonomi akan memperoleh momentum pemulihan yang lebih baik pada suku keempat dan, seterusnya, mengalami pengembangan pada 2022. -DagangNews.Com








