Karnival Kerjaya jadi tumpuan ramai di Jelajah AKM Kelantan | DagangNews Skip to main content

Karnival Kerjaya jadi tumpuan ramai di Jelajah AKM Kelantan

Reruai Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia antara yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kelantan hari ini. - Gambar Dagangnews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 22 Julai - Penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keenam yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini bagaikan rahmat untuk rakyat Kelantan yang sedang mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan dan kemahiran mereka.

 

Reruai Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) antara yang mendapat sambutan hangat khususnya dari pengunjung belia yang inginkan kerjaya lebih terjamin dengan pendapatan lebih baik.

 

Seorang pengunjung yang ditemui DagangNews.com, Ahmad Amirul Abd Razak, 27 berkata dia datang ke Jelajah AKM bersama isterinya Azlinda Mohamed Ali, 25 untuk mencari kerjaya yang memberi jaminan untuk masa depan yang lebih cerah.

 

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata ketika ini dia bekerja sebagai pembantu operasi di sebuah syarikat swasta dan berhasrat memohon jawatan sebagai Pegawai Lapangan di Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

 

"Saya berterima kasih kepada Jelajah AKM kerana memudahkan saya dalam urusan temuduga. Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan keputusan sama ada saya diterima atau tidak untuk jawatan itu akan dimaklumkan oleh ECERDC selepas ini.

 

"Panel yang terlibat dalam sesi temuduga juga memberi kerjasama yang sangat baik dan besar harapan saya agar kedatangan kami suami isteri ke sini akan memberi rezeki untuk bakal cahaya mata kami yang pertama tidak lama lagi," katanya yang datang dari Pasir Mas bersama seorang lagi adiknya yang turut mencari kerja.

 

 

AKM
Ahmad Amirul Abd Razak, 27 dan isterinya Azlinda Mohamed Ali, 25 antara yang hadir mencari peluang pekerjaan di reruai PERKESO sempena Jelajah AKM Kelantan di Kota Bharu hari ini.

 


Antara syarikat yang menawarkan pekerjaan dalam Jelajah AKM kali ini ialah Proton, Pasaraya Lulu, Arwana Perhentian Resort, Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd (McDonald's Malaysia), 7 Eleven dan beberapa perindustrian yang lain.

 

Seorang lagi pengunjung, Shazlin Khalid, 23 pula berkata dia sudah membuat persiapan rapi dengan mendaftar di www.myfuturejobs.gov.my sebelum hadir ke perkarangan stadium hari ini.

 

"Sekarang saya bekerja di syarikat perkhidmatan penghantaran barang NinjaVan namun mahu mencari peluang yang lebih baik di Jelajah AKM kerana melalui bacaan di media yang melaporkan ada 28 majikan menawarkan hampir 4,000 kekosongan jawatan.


 

Shazlin Khalid
                        Shazlin Khalid

 

 

"Secara jujurnya, saya mahukan kerja yang sesuai dengan kelulusan iaitu Diploma Akuakultur dari Politeknik Jeli kerana saya sangat meminati bidang tersebut dan berharap ada pekerjaan yang sesuai untuk saya hari ini," katanya.

 

Seorang lagi rakannya, Nor Afhzan Mohd Ripin, 22, berkata dia juga mempunyai impian untuk memiliki kerjaya yang sesuai walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.


 

Nor Afhzan Mohd Ripin
            Nor Afhzan Mohd Ripin

 

 

"Hasrat saya mahu mencari kerja yang ada pendapatan melebihi gaji sekarang kerana wang itu boleh digunakan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Negeri Unit Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Negeri Kelantan, Muhammad Syahir Ammar Mohamed berkata setakat 12 tengahari tadi, terdapat 316 individu yang mencari kerja telah hadir ke reruai agensi itu.


 

Muhammad Syahir Ammar Mohamed
         Muhammad Syahir Ammar Mohamed

 

 

"Dalam tempoh tiga jam, seramai 58 orang telah berjaya mendapat pekerjaan yang diidamkan dan hasrat kita agar lebih ramai rakyat Kelantan hadir ke sini untuk memburu pekerjaan yang mereka impikan," katanya. - DagangNews.com