Kapten Eezmaira cipta sejarah wanita pertama negara raih anugerah National Seafarer of The Year | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapten Eezmaira cipta sejarah wanita pertama negara raih anugerah National Seafarer of The Year

Kapten Eezmaira Sazzea Shaharuzzaman
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Jun - Nakhoda wanita kapal pertama Eaglestar, Kapten Eezmaira Sazzea Shaharuzzaman, mencipta sejarah sebagai wanita pertama negara menerima anugerah berprestij 'National Seafarer of The Year' sempena sambutan Hari Pelaut Kebangsaan yang diadakan di Terengganu, baru-baru ini.

 

Anugerah tersebut disampaikan kepada pelaut Malaysia yang cemerlang yang telah menunjukkan semangat dan komitmen yang ketara dalam profesion mereka serta sebagai pengiktirafan sumbangan sosial kepada komuniti maritim.

 

Eezmaira berkata, beliau benar-benar bersyukur kerana dinamakan sebagai Pelaut Negara Tahunan dan ia sememangnya salah satu pencapaian terpenting dalam kerjayanya sejak memulakan pelayaran pertama sebagai pelaut lebih sedekad lalu. 

 

"Kejayaan hari ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan motivasi daripada keluarga, rakan dan rakan sekerja. Saya berterima kasih kepada Eaglestar dan MISC Berhad kerana terus membuka jalan untuk wanita membina kerjaya mereka sebagai maritim profesional.

 

"Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan progresif yang komited ke arah memupuk kepelbagaian, keterangkuman dan kecemerlangan bakat di laut dan pantai," katanya dalam satu kenyataan.

 

“Saya percaya bahawa penghormatan ini bukan sahaja untuk saya, tetapi juga kepada komitmen dan semangat wanita dalam industri maritim. Saya harap pengiktirafan ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk meneruskan kerjaya di laut dan mempromosikan masa depan maritim yang inklusif," katanya.

 

Kapten Eezmaira adalah antara kumpulan pertama wanita Malaysia yang dipilih untuk mengikuti latihan profesional maritim di Akademi Maritim Malaysia (ALAM) dan berkelulusan Diploma Pengajian Nautika pada tahun 2010. 

 

 

seafarer
Semasa majlis penyampaian anugerah, Kapten Eezmaira yang kini dalam pelayaran diwakili bapanya, Shaharuzzaman Abdul Rahman, menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong.

 

 

Beliau telah belayar sebagai pegawai Eaglestar selama lebih daripada 10 tahun dan menjadi wanita Malaysia pertama dilantik sebagai Nakhoda Kapal (Master Mariner) apabila beliau mengemudi kapal pengangkut LNG MISC, Seri Bijaksana pada 2021.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Eaglestar, Kapten Peter Liew berkata, mereka dengan bangganya memberi hormat kepada Kapten Eezmaira sebagai Pelaut Negara Tahun 2022. 

 

"Pencapaiannya adalah bukti komitmen Eaglestar ke arah memupuk budaya tempat kerja yang pelbagai dan inklusif yang menyediakan peluang sama untuk semua berkembang serta menyumbang bersama ke arah membentuk kemajuan industri maritim. 

 

Dia berdiri sebagai peranan model yang sangat baik untuk wanita muda yang bercita-cita menjadi pelaut dan sememangnya menjadi inspirasi kepada komuniti maritim untuk melonjak ke tahap kejayaan lebih tinggi," katanya.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Yee Yang Chien pula berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Kapten Eezmaira dan amat berbangga dengan kejayaannya sebagai wanita pertama negara diiktiraf anugerah itu. 

 

"Kami akan terus memupuk pembangunan peribadi dan profesional kakitangan kami di seluruh Kumpulan, memperkasakan untuk mencapai potensi penuh dan menjadi versi terbaik diri mereka," katanya. - DagangNews.com