KAPB isytihar dividen 8%, untung bersih melonjak 25.4% pada FY22 | DagangNews Skip to main content

KAPB isytihar dividen 8%, untung bersih melonjak 25.4% pada FY22

Ahli Lembaga Koperasi KAPB bergambar bersama perwakilan zon utara pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-8 (2023), baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB) mengisytiharkan pengagihan dividen sebanyak 8% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) kepada ahli anggota koperasi yang layak dan akan dikreditkan ke dalam modal syer anggota bermula bulan ini.

 

KAPB dalam kenyataan memaklumkan, prestasi kewangan tahun ke tahun KAPB secara keseluruhan menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh dan positif berbanding perolehan tahun lalu apabila berjaya merekodkan peningkatan keuntungan bersih yang melonjak kepada 25.4% berbanding tahun kewangan terdahulu, didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan mampan tetapi berisiko rendah.

 

Katanya, dalam tempoh lapan tahun bermula 2015 sehingga kini, KAPB berjaya mengekalkan prestasi kadar dividen yang tinggi, kompetitif dan optimum berbanding nilai pulangan semasa yang ditawarkan oleh mana-mana institusi pelaburan lain saban tahun. 

 

"Nilai pulangan pelaburan yang ditawarkan oleh KAPB juga merupakan antara yang tertinggi di Malaysia dengan kadar terendah sebanyak 8% dan tertinggi sebanyak 15%," katanya.

 

Pengerusi Eksekutif KAPB, Datuk Ilyas Mohamed berkata, walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi serba mencabar, pihaknya terus mengekalkan rekod cemerlang dan berdaya saing dalam memberikan pulangan paling optimum yang mana 90% daripada keuntungan dijana oleh KAPB bagi tahun kewangan 2022 diagihkan semula dalam bentuk dividen kepada anggota koperasi sekali gus menjamin masa depan kewangan mereka.

 

"Bagi memastikan KAPB terus memberikan pulangan yang mampan kepada para pelabur, kami telah memperhalusi strategi pelaburan kami berdasarkan pelan jangka panjang dengan wawasan jelas yang berpandangan jauh. 

 

"Kami secara agresif melaksanakan kepelbagaian portfolio berisiko rendah secara berfasa dalam pasaran dan kelas aset yang berbeza bagi memastikan nilai pulangan yang positif," katanya.

 

 

KAPB
                                      Datuk Ilyas Mohamed

 

 

Menurut Ilyas, pihaknya juga komited memperkasa golongan kontraktor, vendor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan agensi kerajaan dalam melancarkan aliran tunai perniagaan mereka menerusi segmen pemfaktoran atau pengurusan pembiayaan invois sekali gus membantu perkembangan ekonomi secara mampan. 

 

Katanya, kemudahan pemfaktoran yang mereka tawarkan ini memberi alternatif kewangan baharu yang lebih anjal bagi membantu melaksanakan projek yang diterima.

 

 

KAPB

 

 

"Bukan itu sahaja, KAPB turut memberikan pengawasan korporat yang kukuh dan mempromosikan tadbir urus korporat yang baik untuk memacu pertumbuhan dan prestasi syarikat-syarikat pelaburan kami. 

 

"Kami juga mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti bagi memastikan mandat yang diberi oleh pelabur digalas secara konsisten," katanya.

 

Untuk rekod, KAPB mempunyai 12,000 ahli koperasi yang sah berdaftar setakat ini sejak mula ditubuhkan pada tahun 2014. - DagangNews.com