Jumlah penumpang domestik catat penurunan 11.5% pada November 2022 - MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah penumpang domestik catat penurunan 11.5% pada November 2022 - MAHB

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Pergerakan penumpang domestik mencatatkan penurunan sebanyak 11.5% kepada 2.93 juta penumpang menjadikan jumlah pergerakan penumpang di Malaysia kepada 5.17 juta pada November 2022, menurut MAHB.

 

MAHB dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, operasi Malaysia merekodkan seramai 2.23 juta penumpang antarabangsa pada November, peningkatan 5.9% daripada bulan sebelumnya. 

 

Katanya, sebagai satu kumpulan, MAHB mencatatkan sejumlah 7.84 juta penumpang dengan aset Turkinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen merekodkan 2.66 juta penumpang untuk bulan tersebut.

 

Dalam pada itu, MAHB berkata, perkembangan rancak dari segi penyambungan semula laluan dan pengenalan destinasi baharu oleh syarikat penerbangan pada bulan November dan Disember 2022 terus menandakan pemulihan bagi sektor penerbangan di Malaysia.

 

Pihaknya mengalu-alukan dua syarikat penerbangan baharu dan menyaksikan penyambungan semula empat perkhidmatan laluan pra-pandemik serta pengenalan satu laluan antarabangsa baharu. 

 

Selain itu katanya, Emirates (EK) juga telah membawa balik Airbus A380 yang merupakan pesawat komersial terbesar di dunia untuk mengendalikan laluan Dubai (DXB)-Kuala Lumpur (KUL). 

 

"Langkah strategik ini dibuat untuk menampung lebih ramai penumpang kerana A380 mampu mengendalikan dua kali ganda muatan Boeing 777 semasa yang turut digunakan untuk laluan yang sama," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, sebanyak 13,869 pergerakan pesawat direkodkan di KUL pada November, iaitu peningkatan 12% daripada bulan sebelumnya. 

 

Katanya, faktor penyumbang kepada peningkatan ini termasuk pengenalan syarikat penerbangan tambang rendah China baharu Spring Airlines (9C) di KUL sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang terbang dari Nanning (NNG) sekali seminggu. 

 

"AirAsia X (D7) juga menyambung semula laluan KUL-Jeddah (JED) penerbangan enam kali seminggu menyediakan pilihan perjalanan mampu milik untuk umat Islam yang ingin menunaikan umrah," katanya.

 

Sementara itu, Lapangan Terbang Kuantan (KUA) menyaksikan penyambungan semula operasi Fly Scoot (TR) bagi laluan Singapura (SIN)-KUA. 

 

MAHB berkata, perkhidmatan mingguan 3 kali ini juga menandakan penerbangan antarabangsa pertama lapangan terbang selepas wabak itu.

 

Katanya, perkembangan positif ini berterusan sehingga Disember dengan pengenalan syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu negara, MYAirline (Z9) yang terbang dari KUL ke Kota Kinabalu (BKI), Langkawi (LGK), Kuching (KCH), Kota Bharu (KBR) dan Pulau Pinang ( PEN) setiap hari. 

 

"Terdapat juga penyambungan semula laluan antarabangsa seperti D7 yang menyediakan perkhidmatan laluan KUL-Taipei (TPE) tiga kali seminggu dan Cathay Pacific (CX) bagi laluan Hong Kong (HKG)-Pulau Pinang (PEN) tiga kali seminggu. 

 

"Petanda selanjutnya kepada pemulihan permintaan perjalanan udara boleh dilihat daripada pengenalan AirAsia (AK) perkhidmatan penerbangan SIN - Sibu (SBW) empat kali seminggu pada bulan ini juga," katanya. - DagangNews.com