Jumlah pengguna digital Malaysia tertinggi di ASEAN | DagangNews Skip to main content

Jumlah pengguna digital Malaysia tertinggi di ASEAN

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Malaysia mempunyai pengguna digital tertinggi berbanding negara-negara Asia Tenggara lain iaitu sebanyak 83% (berusia 15 tahun ke atas) daripada jumlah penduduk.

Sebanyak 48% daripada jumlah itu sepenuhnya beralih ke pembelian dalam talian untuk tempoh beberapa tahun sebelum ini.

Berikut adalah dapatan kajian Digital Consumers of Tomorrow, Here Today oleh Facebook dan Bain & Company yang merupakan susulan daripada kajian Riding the Digital Wave.

Pengarah Urusan Facebook Malaysia, Nicole Tan berkata, di Malaysia sahaja, terdapat kira-kira 4 juta pengguna digital baharu pada tahun 2020.

 

Pengarah Urusan Facebook Malaysia, Nicole Tan
Nicole Tan

 

“Platform dalam talian bukan lagi salah satu daripada saluran lain bagi kebanyakan perniagaan, malah menjadi saluran utama. 

“Penting untuk perniagaan berhubung dengan pelanggan dengan lancar dan meniru interaksi dengan manusia menerusi platform sosial, mesej dan video pendek sebanyak mungkin untuk meningkatkan penemuan serta kesetiaan (loyalty),” katanya. 

Kajian itu dilakukan ke atas kira-kira 16,500 pengguna digital dan mengumpulkan dapatan daripada temubual lebih 20 Ketua Pegawai Pengalaman (CXO) di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. 

Menurut Bain & Company, pertumbuhan pengguna digital di Asia Tenggara dijangka mencecah hampir 310 juta orang pada penghujung tahun ini.

Kajian itu juga mendapati, rakyat Malaysia membuat pembelian purata lima kategori produk pada 2020 berbanding 3.8 kategori pada 2019 dan tabiat ini dijangka berterusan. 

Dalam masa sama, peralihan digital dijangka diperluas ke dalam sektor penjagaan kesihatan, pendidikan dan hiburan dalam talian memandangkan ia berkembang cepat untuk mengadaptasi aktiviti penggunaan rumah pengguna seperti pembelajaran di rumah, teleperubatan dan permainan dalam talian serta siaran langsung.

 

Bain & Company, Gwendolyn Lim
Gwendolyn Lim

 

“Asia Tenggara merupakan rantau yang dinamik dan berkembang pesat menuju pertumbuhan enjin utama bagi ekonomi digital global. Jumlah pengguna digital Asia Tenggara telah berkembang luas dan penggunaan digital mereka membentuk norma baharu hari ini. 

“Pada masa akan datang, pembelian dalam talian dijangka mencecah tiga kali ganda pada 2025 menghampiri nilai AS$150 bilion,” kata Rakan Kongsi Bain & Company, Gwendolyn Lim. - DagangNews.com