Jumlah kehadiran pengunjung Genting SkyWorlds gagal tepati jangkaan - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah kehadiran pengunjung Genting SkyWorlds gagal tepati jangkaan - Maybank IB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Taman tema Genting SkyWorlds menerima kehadiran antara 3,000 hingga 4,000 pengunjung setiap hari sejak 1 April 2022 dan jumlah itu adalah separuh daripada jangkaan Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma itu berkata, taman tema itu menerima purata 2,600 pengunjung stiap hari bermula 8 Fberuari hingga 31 Mac 2022.

 

"Kami difahamkan tempoh menunggu lama bagi sesetengah permainan yang disebabkan oleh isu teknikal adalah punca utama (tidak mencapai jangkaan jumlah pengunjung). 

 

"Bagaimanapun, kami yakin bahawa isu teknikal ini akan diselesaikan.

 

"Difahamkan bahawa Genting Malaysia juga telah mengambil beberapa pekerja berpengalaman untuk mengendalikan taman tema dengan lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Resorts World Genting (RWG) kembali rancak semasa pasca sekatan COVID-19, meskipun kekurangan pekerja yang membelenggu Malaysia turut memberi kesan kepadanya untuk pulih dengan pantas ke tahap sebelum pandemik.

 

"Kami juga teruja Indonesia bersetuju untuk menarik balik sekatan daripada menghantar rakyatnya ke Malaysia untuk bekerja bermula 1 Ogos 2022 dan dijangka dapat meringankan masalah kekurangan pekerja," katanya.

 

Selain RWG, Genting Malaysia turut memiliki dan mengendalikan Genting United Kingdom (GENUK), Resorts World New York (RWNY) serta Resorts World Bimini (RWB).

 

RWG menyumbang kira-kira 80% perolehan kumpulan dan sedang dikembangkan menerusi Pelan Pelancongan Bersepadu Genting (GITP).

 

GITP membabitkan 1,536 bilik hotel, taman tema luar bangunan, taman tema dalam bangunan, pusat beli belah, plaza dan laluan kereta kabel baharu. - DagangNews.com