KUALA LUMPUR 22 Dis - Jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian pada suku ketiga 2022 mencatatkan penurunan 5.9% kepada 190,170 berbanding 202,102 kekosongan pada suku sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kekosongan jawatan turut mencatat penurunan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.2% berbanding 158.2% yang direkodkan pada suku ketiga 2021.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dari segi kategori pekerjaan yang diiklankan dalam talian, golongan profesional meliputi jumlah terbesar iaitu 46.1% atau 87,587 kekosongan pada suku tersebut.
“Ini diikuti 18.1% (34,434) dalam kategori juruteknik dan profesional bersekutu, manakala pengurus menyumbang 12.8% (24,417),” katanya dalam kenyataan sempena laporan Analisis Data Raya Job Market Insights: Jawatan Kosong Diiklankan Dalam Talian di Malaysia bagi suku ketiga 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Berdasarkan sektor ekonomi secara keseluruhan pula, majoriti jawatan kosong yang diiklankan secara dalam talian tertumpu kepada sektor perkhidmatan iaitu 67.6% atau 128,575 kekosongan.
Analisis lanjut berdasarkan aktiviti ekonomi menunjukkan perdagangan borong dan runcit; aktiviti pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal membentuk komposisi terbesar jawatan kosong yang diiklankan dalam talian iaitu 23.7% (45,150).
Ini diikuti dengan aktiviti pembuatan (21.5% atau 40,903); profesional, saintifik dan teknikal (21,150) dan aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan (13,161).
Mengulas mengenai jawatan kosong yang diiklankan di peringkat negeri pula, Mohd. Uzir berkata, semua negeri mencatatkan penurunan dalam tempoh berkenaan kecuali Labuan.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kekosongan jawatan tertinggi dengan 79,183 penawaran, diikuti Selangor (27,424), Johor (14,815) dan Pulau Pinang (6,340).
Menurutnya, terdapat beberapa keadaan yang mempengaruhi aktiviti pengambilan pekerja, antaranya majikan masih selektif dalam mengambil pekerja baharu bagi mengisi jawatan kritikal.
"Keadaan juga agak mencabar untuk mencari pekerja yang berkelayakan dengan peruntukan bajet yang ketat dihadapi golongan peniaga berikutan peningkatan inflasi dalam ekonomi," jelas beliau. - DagangNews.com








