Jubin dilantik sebagai CEO baharu Tune Protect | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jubin dilantik sebagai CEO baharu Tune Protect

KUALA LUMPUR 1 Jun - Tune Protect Malaysia mengumumkan pelantikan Jubin Mehta sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu bermula 5 Mei 2022. 

 

Dalam peranannya sebagai ketua bahagian insurans am Tune Protect Group Berhad, Jubin menggalas tanggungjawab untuk mengangkat Tune Protect Malaysia menjadi sebuah organisasi berteknologi progresif, sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk memudahkan insurans bagi pelanggannya.

 

Jubin mempunyai pengalaman lebih daripada 18 tahun dalam industri perbankan, khususnya di India, Vietnam dan Malaysia. 

 

Pengalaman beliau sepanjang 5 tahun yang lepas, terutamanya dalam bidang teknologi kewangan termasuklah pengasasan sebuah syarikat analisis data yang inovatif dan perundingan dengan Axiata Digital dan Courts Mammoth untuk projek dalam dunia pinjaman digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, Rohit Nambiar berkata, mereka teruja Jubin menyertai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi mengetuai operasi di seluruh Malaysia. 

 

"Dengan pengalaman teknikal dan kepimpinannya yang luas dalam perkhidmatan kewangan dan ruang teknologi sebelum menyertai Tune Protect Malaysia, saya percaya beliau akan mewujudkan sinergi yang menarik dengan pasukan kami untuk mempercepatkan usaha pendigitalan Tune Protect bagi menjadi syarikat insurans gaya hidup yang disukai ramai di rantau ini", katanya dalam satu kenyataan.

 

Jubin pernah bekerja dengan Standard Chartered Bank dan HDFC Bank sebelum ini dan telah mengumpul pengalaman perbankan yang luas dalam ekosistem perbankan, pembiayaan rantaian bekalan, Perdagangan rentas sempadan, perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pinjaman digital.

 

 

tune
Jubin Mehta

 

 

Jubin berkata, beliau teruja untuk bekerjasama dengan ahli lembaga pengarah, pekerja, rakan kongsi perniagaan dan semua pihak berkepentingan dalam Tune Protect Malaysia bagi meraih kejayaan dalam landskap insurans am di Malaysia. 

 

"Dengan pengalaman saya dalam industri perbankan, khususnya dalam perbankan PKS, saya juga teruja untuk menerajui pembangunan penyelesaian PKS kumpulan ini,” katanya.

 

Jubin memiliki Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dari Universiti Delhi dan Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (jurusan Pemasaran) dari Institut Pembangunan Pengurusan di India. - DagangNews.com