KUALA LUMPUR 6 Dis - Proton mencatat penurunan jualan sebanyak 13.1% kepada 11,316 unit pada November berbanding bulan Oktober 2022 disebabkan syarikat bergelut dengan isu bekalan sementara.
Proton dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun dengan jualan tahun sehingga kini (YTD) pada 126,682 unit, satu pertumbuhan sebanyak 10.4% telah pun dicapai berbanding dengan keseluruhan 2021 dengan satu bulan lagi menjelang akhir tahun.
Menurutnya, pegangan pasaran bagi bulan November dianggarkan sebanyak 17.7% dan untuk tahun ini, Proton mengekalkan pegangannya di kedudukan kedua dalam jadual jualan dengan 19.7% daripada jumlah jualan kenderaan.
Katanya, dianggarkan juga Jumlah Volum Industri (TIV) untuk tahun 2022 akan mencatat rekod dan menghampiri 700,000 unit setelah pasaran automotif Malaysia menikmati bulan keempat berturut-turut melebihi 60,000 jualan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, November merupakan bulan jualan penuh peristiwa untuk Proton kerana mengalami beberapa isu bekalan sementara yang menghalang daripada mencapai potensi penuh mereka.
"Kami yakin dapat membetulkannya pada bulan Disember dan kekal yakin untuk menutup tahun ini dengan kukuh.
"Selain daripada memberi manfaat kepada syarikat, peningkatan dalam jualan juga telah meningkatkan jumlah komponen yang dibeli daripada vendor tempatan, menambah bilangan pengedar kami dan mewujudkan pekerjaan untuk ekosistem automotif.
"Dengan pengenalan model baharu dalam perancangan untuk 2023, kami berharap dapat meningkatkan sumbangan kami kepada ekonomi Malaysia dengan membuat lebih banyak pelaburan tempatan, menjual lebih banyak kenderaan, dan mengembangkan lagi pasaran eksport kami," katanya.
Selain itu, lima model Proton telah melebihi jumlah volumnya dari tahun 2021 dengan dua model, Proton X50 dan Proton Exora, menerajui segmen masing-masing sepanjang tahun.
Jualan eksport juga meningkat lebih 2,000 unit berbanding tahun sebelumnya kerana jualan YTD kini berjumlah 5,028 unit berbanding 3,018 bagi keseluruhan tahun sebelumnya.
Terdahulu, Proton meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember 2022.
Pencapaian ini hanya mengambil masa selama tujuh bulan selepas unit pertama dikeluarkan pada bulan April tahun ini. Hasil penghantaran 11,316 unit pada bulan November, Proton juga telah mencapai jumlah jualan terbaiknya sejak 2013.
Dengan 126,682 unit setakat ini, syarikat berada di landasan untuk memperoleh tahun jualan terbaiknya dalam masa sembilan tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, ia adalah salah satu barisan pemasangan enjin paling maju di Malaysia dengan tahap automasi yang tinggi, persekitaran terkawal iklim dan pelbagai gerbang ujian untuk memastikan kualiti pengeluarannya.
"Pada 2023 kami menyasarkan pengeluaran 60,000 enjin, yang akan digunakan merentasi beberapa model Proton," katanya. - DagangNews.com







