KUALA LUMPUR 11 April - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap YTL Power International Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 96 sen daripada 80 sen sebelum ini.
Semakan semula TP itu setelah mengambil kira hasil jualan 33.5% pegangannya dalam ElectraNet Pty Ltd. membabitkan tunai berjumlah AS$1.02 bilion (RM3.06 bilion) kepada pemegang saham sedia adanya, Australian Utilities Pty Ltd, pemegang amanah Australian Utilities Trust (AUT).
Urus niaga ini yang dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2022 akan meningkatkan baki tunai kumpulan kepada kira-kira RM11 bilion.
Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry, di peringkat syarikat induk, ia akan meningkatkan kedudukan tunai sebanyak RM1.9 bilion manakala bagi keseluruhan kumpulan, tahap pengearan berkurangan kepada 1.55x daripada 1.9x sebelum ini.
Beliau berkata, hasil jualan ekuiti ini mungkin digunakan untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu bagi meningkatkan lagi nilai kumpulan pada peringkat seterusnya.
"Kami berpendapat, kumpulan akan menggunakannya untuk mengembangkan kapasiti pusat data, tenaga boleh diperbaharui (RE) solar dan juga pembangunan hartanah Brabazon yang sedang berjalan di United Kingdom (UK) atau melaksanakan pengambilalihan dan penggabungan (M&A) yang berpotensi," katanya dalam nota kajian hari ini.
YTL Power membeli kepentingan dalam ElectraNet pada 2000 dan kemudiannya diikuti dengan pengambilalihan dalam Wessex Water Services Ltd. yang berpangkalan di UK pada 2002.
Selain itu, YTL Power, melalui YTL Communications Sdn. Bhd. yang dimiliki 60% pegangan, turut mengendalikan rangkaian YES 5G.
Menurut Hafriz, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Wessex Water, kumpulan mendapat pendedahan kepada sektor utiliti air terkawal di UK, meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada potensi peningkatan nilai modal kawal selia (RCV).
Ini kerana katanya, secara dasarnya, RCV utiliti air di UK diindeks kepada inflasi, bermakna senario inflasi yang meningkat akan memacu peningkatan kepada RCV seterusnya dan mengembangkan potensi hasil (melalui kenaikan kadar) dan pulangan pelabur.
"Sejak kumpulan memperoleh pegangan pada 2002, Wessex Water yang merupakan aset matang, telah menyaksikan RCVnya meningkat hampir 3 kali ganda kepada 3.5 bilion pound daripada 1.3 bilion pound sebelum itu," jelasnya.
Setakat 9.35 pagi, harga sahamnya menokok 1.5 sen atau 1.94% kepada 76 sen dengan 5.97 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








