JPM perlu lebih giat promosi Keluarga Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

JPM perlu lebih giat promosi Keluarga Malaysia - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) diminta lebih giat mempromosikan konsep Keluarga Malaysia.

 

Perdana Menteri berkata, JPM bertanggungjawab dan harus lebih agresif dalam mempromosikan konsep Keluarga Malaysia berbanding jabatan lain.

 

"Bagaimana kita hendak meminta kementerian lain menyokong konsep Keluarga Malaysia, sedangkan kita sebagai tuan rumah tidak melakukan sebaiknya.

 

"Saya meminta anda membantu mempromosikan Keluarga Malaysia dengan lebih giat dan agresif," katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga JPM di Putrajaya hari ini.

 

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan warga JPM supaya bekerja dengan jujur dan berintegriti kerana hampir semua dasar negara tertumpu pada jabatan berkenaan.

 

Beliau berkata, JPM perlu menunjukkan contoh yang baik kepada kementerian lain dan rakyat mengenai pelaksanaan dasar kerajaan.

 

"Kebanyakan dasar kerajaan yang diumumkan berada di bawah kuasa JPM termasuk berkaitan ekonomi seperti Rancangan Malaysia Ke-12, Bajet 2022, agama dan isu berkaitan Sabah dan Sarawak.

 

 

pm

 

“Seluruh mata rakyat tertumpu hampir keseluruhan kepada JPM kerana perkara berkaitan dengan negara dan rakyat terutama isu dasar adalah di bawah JPM," katanya.

 

Beliau mengharapkan sokongan dan kerja keras semua pihak, termasuk pegawai, pemimpin dan kakitangan keseluruhannya di JPM. - DagangNews.com