KUALA LUMPUR 7 April - Meta Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran #JomCelikDigital Dengan Meta, inisiatif peningkatan kemahiran terbesar syarikat tersebut yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula 14 April 2022.
Di bawah naungan inisiatif #JomCelikDigital Dengan Meta, empat program peningkatan kemahiran digital akan diperkenalkan. Empat program tersebut adalah Meta Boost, Pasar WhatsApp, Instagram Academy dan Facebook Blueprint Higher Education Program.
Setiap satu direka untuk mencukupi golongan berbeza termasuklah pelajar, pencari pekerjaan, perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemilik perniagaan kecil atau mikro.
Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan berkata, pihaknya komited dalam menyokong agenda ekonomi digital negara.
"Perniagaan semakin banyak menggunakan teknologi sebagai satu cara bekerja, maka akses saksama kepada peralatan digital yang bermanfaat menjadi semakin penting, anjuran yang selari dengan matlamat Malaysia untuk menjadi pusat e-dagang di rantau ini dan keseluruhan agenda rangka tindakan ekonomi digital.
"Melalui #JomCelikDigital Dengan Meta, kami menyediakan akses saksama kepada sumber digital kami yang menyeluruh agar rakyat Malaysia mempertingkatkan daya saing dalam dunia digital, terutama bagi mereka yang berada di pedalaman serta golongan berpendapatan B40," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, inisiatif tersebut akan membantu rakyat Malaysia membina kemahiran penting ketika pengetahuan digital diperlukan dalam kesemua sektor ekonomi.
“Inisiatif #JomCelikDigital Dengan Meta ini selari dengan program MDEC, #SayaDigital, yang bukan sahaja memberi individu kemahiran digital diperlukan untuk berkembang dalam masa depan digital kita, tetapi juga sebagai daya penggerak memacu ekonomi digital Malaysia ke arah mencapai status negara digital berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya.
Mengulas lanjut, program Meta Boost bertujuan untuk membawakan bengkel pendidikan percuma dan ia direka untuk memperkasakan lebih 1000 PKS di seluruh negara yang paling terjejas akibat pandemik, dengan kemahiran digital yang boleh membantu mereka meningkatkan keterlibatan dengan berkesan.
Pasar WhatsApp menyasarkan lebih 1000 pemilik perniagaan kecil dan mikro bertujuan untuk memperkenalkan golongan ini kepada pelbagai ciri aplikasi WhatsApp Business untuk mendigitalkan perniagaan menerusi platform yang mudah dan biasa digunakan.
Selain itu, Instagram Academy direka untuk memberi sokongan kepada lebih 1000 usahawan dan PKS tempatan menerusi peralatan Instagram dan bahan pendidikan agar dapat berhubung dengan pelanggan dan komuniti dengan cara yang menghasilkan penglibatan yang lebih tinggi, contohnya melalui video pendek seperti Reels.
Facebook Blueprint Higher Education Program bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran pemasaran digital dunia sebenar serta menyokong para pendidik dalam pemupukan bakat yang mahir digital. - DagangNews.com








