JIWA SME 2023 anjuran Astro AWANI perkasa usahawan tempatan bangkit pasca pandemik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JIWA SME 2023 anjuran Astro AWANI perkasa usahawan tempatan bangkit pasca pandemik

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jan - Astro AWANI Network Sdn Bhd (Astro AWANI) menganjurkan persidangan dan karnival JIWA SME 2023 bagi memperkasakan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk bangkit dalam tempoh pemulihan pasca pandemik COVID-19.

 

Acara tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 13 Januari hingga 15 Januari 2023 di Malaysia Grand Bazaar, Bukit Bintang di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), Henry Tan berkata, pihaknya berperanan dalam memastikan masyarakat dan usahawan tempatan sentiasa diperkasakan dengan informasi yang diperlukan untuk menyemarakkan ekonomi PMKS dan negara.

 

Beliau berkata, lebih 920,000 peniaga berdaftar di Malaysia dan 99% daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana turut menyumbang sebanyak RM518 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, menurut laporan Jabatan Perangkaan.

 

"Ini merupakan jumlah yang sangat signifikan, dan kami di Astro AWANI melihat potensi ini wajar diberi perhatian dan sokongan menerusi acara JIWA SME ini. 

 

"Kami turut memberi fokus melalui tiga kaedah utama iaitu, dengan menyalurkan inspirasi kisah kejayaan, meningkatkan kemahiran usahawan dan tenaga kerja serta berkongsi solusi terkini bagi segala masalah bisnes semasa," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran JIWA SME hari ini yang dirasmikan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

 

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail pula berkata, melalui lensa sebagai pengamal media, pihaknya menjadi saksi sejarah kehebatan usahawan tempatan yang anjal menempuh cabaran semasa negara dilanda COVID-19.

 

 

rafizi
Rafizi Ramli (dua, kanan) melihat barangan yang dijual di reruai JIWA SME 2023 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 13 Januari 2023 - Gambar DagangNews.com

 

 

astro
Henry Tan (dua, kanan) pada majlis perasmian JIWA SME 2023 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 13 Januari 2023 - Gambar DagangNews.com

 

"Macam-macam kisah kejayaan yang menyerlahkan keupayaan, keanjalan dan kekentalan para usahawan kita untuk pivot atau beralih, mengadaptasi dengan situasi krisis," katanya.

 

Katanya, sejak itu pihaknya memberi tumpuan penuh kepada pembangunan para usahawan dan elemen sosial yang lebih bersifat keinsanan holistik dalam pemberitaan serta hal ehwal semasa Astro AWANI.

 

Sementara itu, Rafizi berkata, golongan muda disaran untuk menceburi bidang perniagaan, terutamanya dalam sektor pelancongan dalam negara berikutan jangkaan pertumbuhan pesat industri itu pada tahun 2023. 

 

Katanya, kemasukan pelancong asing selepas pembukaan semula sempadan negara juga dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan negara. 

 

“Dari segi rantaian nilai dan perkhidmatan yang boleh diceburi dalam sektor pelancongan, ia tidak memerlukan modal begitu besar berbanding dengan infrastruktur yang mungkin perlu diwujudkan kalau kita nak tumpu kepada pelancong luar negara," katanya. - DagangNews.com