Jelajah AKM Kelantan tawar ayam RM6.99 sekilogram, barangan keperluan harian pada harga murah | DagangNews Skip to main content

Jelajah AKM Kelantan tawar ayam RM6.99 sekilogram, barangan keperluan harian pada harga murah

oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 23 Julai -  Program Jualan Keluarga Malaysia yang diadakan di Stadium Sultan Muhamammad IV bersempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keenam menawarkan pelabagai barangan keperluan harian pada harga yang jauh lebih murah termasuk ayam pada harga RM6.99 sekilogram.

 

Tinjauan DagangNews.com di tapak jualan mendapati orang ramai tidak putus-putus datang membeli barangan keperluan bersama keluarga masing-masing.

 

Seorang pengunjung, Nurul Atiqah Ahmad, 36, berkata, langkah kerajaan menganjurkan program jualan murah itu sangat tepat pada masanya memandangkan rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi sejak akhir-akhir ini.

 

"Ada sesetengah barangan yang saya tengok tadi dijual lebih murah berbanding harga diskaun di pasaraya besar sekitar Kota Bharu.

 

"Contohnya ayam hanya RM6.99 sekilo. Walaupun pembelian dihadkan hanya dua ekor setiap pembeli namun ini sangat membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat terutama keluarga berpendapatan rendah.

 

akm
Nurul Atiqah Ahmad

 

"Untuk keluarga yang ramai anak atau adik beradik pula, boleh bincang untuk datang beramai-ramai kerana setiap orang boleh beli mengikut had yang ditetapkan. Memang saya sangat berpuas hati dengan penganjuran program ini," katanya yang banyak membeli air mineral untuk stok minuman keluarga di rumah.

 

Jualan murah yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 pagi hingga 9 malam itu diadakan menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta beberapa pasaraya sekitar Kelantan.

 

Seorang lagi pengunjung, Marainy Yusof, 53, berkata, dia rambang mata melihat potongan harga barangan yang dijual sempena Jelajah AKM itu kerana nilai penjimatan yang sangat hebat dinikmati oleh pembeli.

 

akm
Marainy Yusof

 

"Memang sangat membantu rakyat untuk berjimat cermat kerana tepung gandum dijual hanya RM2.50 sahaja berbanding harga asal RM3.50, telur gred A pula hanya RM13 sepapan dan beras Faiza 10 kg hanya RM23 (harga asal RM26).

 

"Minyak paket 2.50 pun banyak dijual di sini dan memang jadi 'rebutan' maklumlah sekarang agak susah dapat di pasaran kerana cepat sangat kehabisan stok.

 

akm

 

"Apakan daya tempat meletak kereta agak jauh, kalau tidak lebih banyak jualan yang saya akan borong untuk buat simpanan stok dua bulan di rumah," katanya yang datang dari Kubang Kerian untuk mengintai peluang perniagaan disediakan kerajaan.

 

Lokasi tapak Jualan Keluarga Malaysia yang terletak bersebelahan khemah jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) itu juga memudahkan pengunjung membeli belah barangan yang mereka kehendaki dengan lebih mudah dan terancang.

 

Seorang lagi pengunjung, Athirah Mat Saari, 20 pula berharap kerajaan akan meneruskan program jualan murah itu pada skala yang lebih kecil di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri atau mukim supaya lebih ramai rakyat Keluarga Malaysia menikmati penjimatan tersebut.

 

akm
Athirah Mat Saari

 

"Ini bagi memastikan hasrat kerajaan itu benar-benar sampai ke golongan sasar. Usaha kerajaan ini akan sangat dihargai rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

 

"Jualan murah seperti ini adalah platform tepat dan terbaik untuk kerajaan yang membuktikan pemimpin mendengar rintihan rakyat dan peniaga kecil," katanya.- DagangNews.com