KUALA LUMPUR 10 Mei - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia akan memberi maklum balas lengkap terhadap isu kelewatan penerbangan dalam tempoh 24 jam, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Dalam catatan terbaharu di laman Twitternya, beliau berkata, pihaknya telah menghubungi pengurusan AirAsia untuk mendapatkan penjelasan berikutan peningkatan aduan pengguna terbabit sejak kebelakangan ini.
“Tiada ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin, ‘siasat dan siasat’ atau sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini.
"Kepentingan pengguna adalah amanah saya sebagai menteri KPDNHEP. Dalam masa sama, usaha merungkai masalah ini perlu dibuat secara teratur bagi memastikan suatu penyelesaian menyeluruh berupaya dirangka dan dilaksanakan," katanya.
Menurut Alexander, antara isu (berkisar kepada kepentingan pengguna) yang diketengahkan menerusi libat urus awal bersama AirAsia adalah penangguhan jadual penerbangan, semakan semula jadual penerbangan sehingga menjangkau lebih 6 jam.
“Turut dibangkitkan kelayakan pengguna mendapatkan pampasan sekiranya mengalami kelewatan penerbangan sebegini. Bagi memudahkan pengguna, saya meminta AirAsia untuk menyediakan carta aliran mengenai proses memfailkan aduan rasmi.
"Bagi mendapatkan pampasan (tertakluk kepada garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sebagai agensi kawal selia dalam isu ini)," katanya.

Tegasnya, sebagai menteri beliau akan turut campur tangan sekiranya hak pengguna terkait sama, meskipun perihal mengenai industri penerbangan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT).
BACA JUGA: Tunda penerbangan: Pengguna AirAsia berhak tuntut pampasan - KPDNHEP
"Rentetan itu, saya mendesak supaya MOT dan MAVCOM untuk lebih proaktif serta tampil untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu ini," katanya. - DagangNews.com








