Ismail Sabri deklamasi puisi untuk sampaikan mesej cintakan negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ismail Sabri deklamasi puisi untuk sampaikan mesej cintakan negara

Ismail Sabri mendeklamasikan puisi bertajuk Keluarga Malaysia pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 pada 26 Ogos 2022. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Inti pati yang diketengahkan adalah sama namun pendekatannya sedikit berbeza apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini memilih untuk berpuisi bagi menyampaikan mesej kecintaannya pada negara.

 

Sebelum mendeklamasikan puisi berjudul 'Keluarga Malaysia' hasil nukilannya sendiri, Ismail Sabri memohon maaf jika terdapat masalah dalam penyampaian beliau pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

 

"Saya minta maaf kalau ada masalah, saya baru belajar dari cikgu," katanya sebelum melontarkan bait-bait puisi yang menjentik kepentingan mempertahan sifat toleransi, hormat-menghormati serta cintakan negara dalam diri rakyat walaupun berbeza kepercayaan agama dan kaum, Bernama melaporkan.

 

Berikut adalah puisi Keluarga Malaysia yang dibawa Ismail Sabri:

 

Keluarga Malaysia

kupetik tempa falsafah ini

dari bumi bertuah

harmoninya terbina

kejayaannya sempurna

dari bangsa

yang mengenal jalur budinya.

 

Keluarga Malaysia

dengan dada terbuka fikiran menerima

kita mencungkil kesamaan

tidak menggali perbezaan.

 

Persis selembar benang

kita kait tenun

meniadi sehelai kain

but hamparan sempurna

sebuah keluarga Malaysia

terjalin utuh

terangkum kebersamaan

penuh syukur.

 

Keluarga Malaysia

sekian lama terbina

atas kepercayaan keyakinan

semua bangsa semua etnik

semua agama semua kepercayaan

tidak menjadi tembok dan dinding

yang menghalang

lahirnya keluarga Malaysia sejati.

 

Keluarga Malaysia

dengan penuh kasih sayang

menganyam kesejahteraan kebahagiaan

kerna kita sebuah keluarga besar.

 

Keluarga Malaysia

Mari kita pertahankan

payung toleransi

hormat menghormati

dengan jati diri

cintakan negara

cintakan pertiwi.

 

- Karya Ismail Sabri Yaakob

 

PM

 


Majlis kira-kira dua jam itu turut diserikan dengan pelancaran koleksi Lagu Puisi Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri serta persembahan pembukaan oleh Razali Mohd Yusof, Dr Jessica Ong Hai Liaw dan Dr Raja Rajeswari Seetha Raman disusuli deklamasi puisi bertajuk 'Kita Jagai Merdeka' oleh Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) Datuk Rahman Shaari yang diumumkan sebagai Sasterawan Negara Ke-15 pada 22 Jun lalu.

 

Program jelajah puisi itu anjuran bersama Penyair, Institut Kepimpinan Kamarzaman, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Hotel Royale Chulan.

 

Siri pertama jelajah itu bermula di Universiti Putra Malaysia pada 8 Ogos lepas diikuti Universiti Malaysia Perlis (13 Ogos) dan Universiti Malaysia Sarawak (20 Ogos) manakala penutupnya akan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah pada 14 Sept depan iaitu dua hari menjelang tarikh sambutan Hari Malaysia 2022. - DagangNews.com