IOI dijangka berdepan prospek mencabar dalam industri oleokimia, kata AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI dijangka berdepan prospek mencabar dalam industri oleokimia, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - AmInvestment Bank Research menjangkakan IOI Corporation Berhad berdepan prospek mencabar dalam industri oleokimia kesan daripada saingan sengit dari Indonesia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kilang oleokimi baharu di China sudah mula beroperasi dan ia menungkin menjejaskan permintaan produk oleokimia dari Malaysia.

 

Katanya, Jun 2023, Apical Oleochemical Co. sudah memulakan operasi di Taixing, Jiangsu dan ia mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 600,000 tan.

 

"Kami meramalkan untung sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pembuatan (penapisan dan oleokimia) kumpulan akan jatuh sebanyak 37% kepada RM414 juta pada FY24.

 

"Kami mengandaikan margin EBITDA pembuatan sebanyak 3.5% pada FY24 berbanding 5.9% pada FY23.

 

"Hasil dijangka berkembang sebanyak 5% pada FY24 disokong oleh pentauliahan kilang oleokimia baharu di Pulau Pinang yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 110,000 tan metrik setahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, bahagian perladangan kumpulan dijangka menikmati pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi pada FY24 selain kos pengluaran lebih rendah.

 

Firma itu berkata, ia seharusnya mengurangkan kesan negatif terhadap harga minyak sawit mentah (MSM) yang masih lemah 

 

"Kami mengandaikan harga purata MSM sebanyak RM3,800 bagi setiap tan untuk FY24 berbanding RM4,118 setiap tan yang direalisasikan pada FY23.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM4.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com