KUALA LUMPUR 7 April - Maybank Research menjangkakan InNature Berhad iaitu pemilik rangkaian perniagaan The Body Shop berdepan risiko kenaikan kos pengeluaran dan logistik akibat kenaikan harga komoditi global.
Firma penyelidikan itu berkata, kos berkenaan selain kadar inflasi tinggi bukan sahaja akan menjejaskan harga produk mereka malahan bakal memberi kesan kepada permintaan pelanggan.
"InNature juga berdepan situasi turun naik kadar tukaran wang asing kerana sumber bekalannya adalah daripada United Kingdom dan Brazil selain operasi di Vietnam dan Kemboja.
"Keadaan itu bukan sahaja memberi impak kepada harga barangan jualan mereka tetapi memberi kesan kepada margin keuntungan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, InNature memiliki lebih 77 cawangan The Body Shop di Malaysia dan 39 cawangan di Vietnam dengan kebanyakannya terletak di dalam pusat beli belah serta jalan-jalan utama selain jenama itu sudah memulakan perniagaan secara dalam talian bermula 2012.
Katanya, pembukaan semula sempadan antarabangsa dijangka meningkatkan semula hasil jualan didorong oleh kehadiran semula pelancong ke kedai fizikal mereka.

"The Body Shop yang terletak di kawasan yang memiliki trafik pelancong yang tinggi sebelum ini menyumbang sebanyak 15% kepada pendapatan kumpulan.
"Vietnam dan Kemboja merupakan pemacu pertumbuhan untuk jangka panjang kerana saiz populasi serta tawaran pelancong di negara itu," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM0.80 dengan jangkaan peningkatan jualan di kedai fizikal mereka serta pertambahan cawangan baharu di Malaysia, Vietnam dan Kemboja. - DagangNews.com








