KUALA LUMPUR 8 Mac - Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur selepas berhadapan cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, menurut Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC) usaha perlu diambil dan diperkukuh bagi memastikan syarikat-syarikat OGSE bersedia untuk pertumbuhan jangka panjang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja'afar berkata, walaupun dengan jumlah industri yang lebih besar, keputusan kewangan syarikat OGSE tersenarai awam bagi tahun kewangan 2022 seperti dilaporkan dalam makluman kepada Bursa Malaysia Securities Bhd, turut menunjukkan pemulihan perniagaan antara sebab untuk mereka mencatatkan pendapatan yang bertambah baik.
Tambahnya, berita-berita positif berkaitan pemberian kontrak baharu dan jangkaan untuk kadar yang lebih tinggi juga merupakan petanda baik bagi syarikat OGSE.
“(Namun begitu) peluang yang muncul dan risiko berlarutan seperti peralihan tenaga, keperluan kemampanan yang lebih ketat dan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik Rusia-Ukraine boleh menjejaskan pemulihan industri OGSE pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Yazid berkata, sehubungan itu, MPRC mengajak syarikat-syarikat OGSE untuk memanfaatkan inisiatif Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 untuk membantu mereka mencapai kestabilan jangka panjang.
MPRC berfungsi sebagai penjaga Pelan Hala Tuju OGSE yang direka untuk menyokong syarikat-syarikat OGSE dalam menangani isu struktur legasi industri dan membolehkan nilai tambah lebih tinggi untuk pertumbuhan yang mampan.
Dalam penerbitan tahunan OGSE100 kelapannya yang dikeluarkan hari ini, MPRC berkata industri OGSE tempatan kembali mencapai keuntungan pada tahun kewangan 2021, mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4.2 bilion selepas merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.7 bilion tahun sebelumnya .
Sebanyak 68 peratus industri OGSE melaporkan keuntungan pada tahun kewangan 2021, manakala OGSE100, yang terdiri daripada syarikat-syarikat OGSE terkemuka di Malaysia berdasarkan hasil, menyumbang 90 peratus daripada keuntungan industri.
Untuk tahun kewangan 2021, OGSE100 melaporkan PBT sebanyak RM3.7 bilion berbanding kerugian RM3.5 bilion pada tahun kewangan 2020. - Dagangnews.com








