Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Industri automotif diunjur kembali positif disokong oleh permintaan terhadap kenderaan yang kukuh.
MIDF Research dalam nota kajiannya menjelaskan, impak daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) mungkin harus dihadkan pada tahun kewangan 2021 disebabkan gangguan terhadap pengeluaran, namun permintaan dilihat tetap utuh pada masa ini.
"Pembukaan semula penjualan kenderaan secara menyeluruh sepatutnya menampung peningkatan tempahan tertunggak pada pendapat kami, disokong oleh cuti cukai sehingga akhir tahun, pemindahan tunai di bawah program rangsangan fiskal dan persekitaran kadar faedah yang rendah.
"Faktor-faktor ini, ditambah dengan potensi peningkatan dalam persekitaran makro pasca pembukaan semula ekonomi, mendorong panggilan 'POSITIF' kami terhadap industri automotif tempatan," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Sementara itu CGS-CIMB mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 500,000 untuk tahun 2021 dengan 181,000 pada suku terakhir tahun ini, peningkatan 2.6 kali ganda lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.
Namun katanya, unjuran tersebut masih 2% lebih rendah daripada suku keempat tahun 2020.
"Kami berpendapat sasaran itu boleh dicapai memandangkan pesanan tertunggak yang sihat merentasi pelbagai jenama dan potensi peningkatan dalam aktiviti ekonomi, sejajar dengan kadar vaksinasi yang lebih tinggi di seluruh negara.
"Sementara itu, potensi lanjutan cuti cukai jualan dalam pengumuman Belanjawan 2022 yang akan datang (dijadualkan pada 29 Okt 2021) boleh menyokong momentum pertumbuhan TIV pada 2022," katanya.
TIV melonjak kepada 44,275 unit pada September, berbanding 17,931 unit pada bulan sebelumnya kerana penyambungan semula operasi perniagaan di seluruh negara, berikutan kelonggaran sekatan pergerakan dan pengecualian cukai jualan.
Namun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan bahawa sebilangan pengeluar kenderaan tidak dapat memenuhi permintaan pengguna kerana kekurangan cip semikonduktor.
Namun begitu, MAA masih menjangkakan TIV Oktober akan bertambag baik berikutan pengeluar kenderaan terus meningkatkan pengeluaran dan penghantaran kenderaan menjelang penamatan pengecualian cukai jualan pada 31 Disember ini. -DagangNews.com








