KUALA LUMPUR 29 Sept - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan pada Ogos 2022 terus sederhana untuk mencatatkan kenaikan 6.8% berbanding 7.6% pada Julai 2022.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bacaan lebih rendah itu disumbangkan oleh indeks pembuatan dengan 9.4% (Julai 2022: 9.9%), diikuti indeks perlombongan yang meningkat 5.8% namun lebih rendah berbanding 9% yang direkodkan pada Julai 2022.
"Sementara itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan merekodkan penurunan negatif 10.6% pada Ogos 2022 berbanding negatif 10.3% pada Julai 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.
Indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing mencatatkan kenaikan 3% dan 0.9% pada Ogos 2022.
Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan penurunan selama tiga bulan berturut-turut untuk mencatatkan negatif 0.2% pada Ogos 2022 berbanding negatif 2.3% pada Julai 2022, disebabkan indeks perlombongan yang merekodkan kejatuhan negatif 3.7% (Julai 2022: -3.6%).
Selain itu, indeks pembuatan turut mencatatkan penurunan negatif 0.1% pada Ogos 2022. Ia mencatatkan kejatuhan kali pertama sejak September 2020 (-0.2%) setelah mencatatkan kenaikan selama 22 bulan berturut-turut.
Sementara itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.5% (Julai 2022: -22.3%). Bagi indeks utiliti iaitu indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 0.8% dan 0.1%.
Jabatan Perangkaan berkata, bagi IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun buat kali pertama sejak Januari 2021, dengan negatif 0.5% pada Ogos 2022.
Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 11.3%, diikuti indeks barang siap dengan kenaikan 2.9%
"Pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya turun negatif 1% diikuti indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-0.1%). Namun begitu, indeks barang siap meningkat 0.3%," katanya. - DagangNews.com








